“BLEU DE CHANEL memang sinonim dengan dunia sinema. Para pengarah dan pelakon yang pernah bekerjasama dengan jenama ini sebelum saya adalah individu yang sangat saya hormati dan kagumi. Untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini adalah satu penghormatan besar.”- Jacob Elordi.
Lebih daripada sekadar wajah baharu untuk BLEU DE CHANEL, Jacob Elordi kini berdiri sebagai antara pelakon paling mempesona dalam generasinya. Namanya mula meletup menerusi siri Euphoria, apabila dia membawakan watak Nate Jacobs, yang pantas mencuri perhatian peminat global.
Sebelum ini, aktor Timothée Chalamet menjadi duta rasmi, menggantikan aktor Perancis, Gaspard Ulliel yang menjadi wajah rasmi selama 12 tahun sehingga dia meninggal dunia akibat kemalangan sewaktu bermain ski pada tahun 2022.

Masuk tahun 2023, Elordi terus mengukuhkan statusnya dengan kemunculan dalam Saltburn arahan Emerald Fennell, selain memegang watak legenda muzik Elvis Presley dalam Priscilla oleh Sofia Coppola. Sejak itu, dia konsisten memilih peranan yang berani dan transformative, membuktikan versatilitinya sebagai pelakon.
Antara projek terbarunya, Elordi membintangi siri terhad yang memenangi anugerah, The Narrow Road to the Deep North arahan Justin Kurzel. Dia juga menghidupkan watak Creature dalam Frankenstein versi Guillermo del Toro — satu persembahan yang melayakkannya menerima pencalonan Academy Award bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Tak cukup dengan itu, Elordi turut tampil sebagai Heathcliff dalam interpretasi semula Wuthering Heights oleh Emerald Fennell, bergandingan bersama Margot Robbie.
Menariknya, Robbie sebelum ini pernah muncul dalam See You at 5 (2024), filem romantik arahan Luca Guadagnino yang dihasilkan khas untuk kempen global wangian ikonik N°5.
Kini, tibalah bab baharu buat Elordi sebagai wajah BLEU DE CHANEL untuk tahun ini, satu peranan yang mencerminkan maskuliniti moden yang lebih instinctive, bebas, dan berani menjadi diri sendiri, jauh daripada norma konvensional.

“Saya sudah mengikuti perjalanan kerjaya Jacob Elordi selama beberapa tahun, sejak Euphoria. Pertama kali saya bertemu dengannya adalah di set penggambaran See You at 5 untuk N°5, di mana dia berlakon bersama Margot Robbie, dan ia satu pendedahan yang luar biasa. Dia benar-benar mewakili BLEU DE CHANEL: kebebasan, misteri, magnetisme, serta maskuliniti yang menggabungkan sentuhan moden dan elegan klasik,” kongsi Thomas du Pré de Saint Maur, Head of Global Creative Resources, Fragrance & Beauty Chanel.
