Rasa cintanya menjadikan dia obses mengongkong kehidupanmu. Adakah itu yang dinamakan cinta? Atau sekadar mainan emosi serta psikologi yang tanpa disedari menjadikanmu mangsa kasihnya.
Kenali tanda-tanda lelaki mengongkong.
Merendahkan kebolehan
Walau apapun yang anda lakukan, semuanya tidak sempurna. Dia tidak ingin kamu terlalu bangga dengan pencapaian yang dilakukan. Dia lebih senang jika kamu meminta pertolongannya, sekali gus menjadikan dia dominan dalam perhubungan ini. Biar tanpa bahasa yang kasar, namun ia mengurangkan keyakinan diri dan menjadikan kamu beranggapan hidup tanpanya adalah mustahil.
Mahu tahu segala
Apa juga yang kamu lakukan perlu mendapat kebenaran dan di dalam pengetahuannya. Rahsia bukan kegemarannya. Jika dia tahu kamu berbohong, dia akan menangis dan menganggap kamu tidak menyayanginya. Dia akan mempersoalkan kesetiaan kamu kerana dia sendiri tegar memberitahu
anda kata laluan untuk akaun bank serta laman sosial seperti Twitter atau Facebook.
Jangan bergembira tanpanya
Hatinya jadi resah bila mengetahui kamu sedang menikmati saat gembira bersama rakan-rakan tanpa dia di sisi. Jika boleh, dia ingin menjadi yang pertama membuat sesuatu perkara yang baru bersama anda. Bila ditanya mengapa muka masam mencuka, dia memberi alasan bertentangan dan menyalahkan kamu kerana menyebabkan harinya tidak gembira.
Cemburu buta
Tidak salah cemburu. Namun jika cemburu akan perihal yang tidak sepatutnya, ia hanya mengundang rimas dalam jiwa. Ia buat kamu tertekan.
Buang keluarga, buang saudara Cinta seharusnya merapatkan hubungan antara manusia. Namun, jika kekasihmu lebih tegar memiliki dirimu seorang diri dan menjauhkan kamu daripada keluarga dan rakan tersayang, ini menunjukkan dia adalah lelaki mengongkong.
Hilang kebebasan
Bukan hanya disekat kebebasan untuk kamu keluar bergembira bersama rakan-rakan, malah dihalang daripada menyuarakan pendapat dan tidak boleh membuat keputusan sendiri. Setiap minit perlu bersama si dia dan kamu tidak digalakkan untuk berjaya di atas kaki sendiri. Segala keputusan hanya dia yang perlu lakukan tanpa mengambil kira apa yang anda inginkan. Bukankah ia membebankan jiwa dan raga?
Prinsip berlainan
Dia menyekat kamu daripada bertemu rakan-rakan atau bergembira bersama, namun tidak untuk dia. Jika kamu langsung tidak boleh bertemu rakan-rakan lelaki, dia boleh keluar bersama rakan wanitanya untuk makan tengah hari. Dia membuat peraturan berat sebelah yang kesemuanya hanya memihak kepada dia.
Kurang keyakinan diri
Panas hatinya melihat anda keluar bergaya. Lelaki mengongkong kebiasaannya rasa rendah diri dengan diri sendiri lalu melarang kamu bergaya dan bersolek walau senipis mungkin kerana dia tidak mahu lelaki lain memandang atau bercakap mengenai dirinya yang tidak secocok apabila jalan beriringan denganmu.
Jika kamu ada kekasih begini, tidak semestinya kamu perlu terus menolak dia dari hidupmu. Sementelah dia bukan menggunakan kekerasan terhadapmu, apa kata beri peluang untuk dia berubah. Bawa berbincang, dan minta dia memahami situasi dirimu. Sayangilah manusia berpada-pada, khuatir jika terlalu berlebihan ia akan merosakkan diri sendiri dan orang yang disayangi.