Terhad sebanyak 1,000 helai sahaja, tudung empat segi satin bertatahkan batu Swarovski dari Naelofar Hijab ini pastinya akan menjadi buruan ramai wanita.
Ia adalah keluaran eksklusif satin yang pertama oleh Naelofar Hijab menggabungkan elemen moden namun masih mengekalkan ciri kesopanan seperti koleksi terdahulu. Terdapat empat variasi warna bagi koleksi Maya ini dan nama setiap satu daripadanya dipilih mengikut warnanya iaitu Maya Ivory (putih), Maya Slate (kelabu), Maya Azure (biru) dan Maya Fuschia (merah jambu).
Istimewanya, koleksi Naelofar Scarf Maya ini menampilkan kelainan di mana terdapat motif flora tropika menggabungkan rekaan seni kontemporari. Pemilihan warna terang dan berwarna warni ditambah dengan kilauan lembut kain satin, sesuai digayakan dengan fesyen kasual mahupun formal.
Selain itu, variasi ini turut menampilkan dua pilihan sama ada Naelofar Scarf Maya, RM75 dan Naelofar Scarf Maya bertatahkan Swarovski, RM95 (edisi terhad dengan hanya 1,000 helai saja dijual di butik Naelofar Hijab).
Menurut Neelofa dalam sidang media selepas majlis pelancaran di Royale Chulan Damansara semalam, dia sudah lama mengimpikan koleksi bercetak tetapi menunggu waktu yang paling sesuai sebelum melancarkannya.
“Ada satu musim itu, kebanyakan keluaran tudung melancarkan helaian bercetak membuatkan kami menunggu terlebih dulu. Kami mahu mencari cara sendiri dan mereka musim tersendiri. Disebabkan ini masih musim Raya, kami melancarkan koleksi bercetak ini apatah lagi tidak pernah lagi ada koleksi fabrik satin setelah berjumpa bahan yang bagus. Istimewanya ia adalah skarf satin pertama Naelofar dengan kelebihan bahan matte di dalam dan satin di luar. Dan hanya 1,000 helaian untuk koleksi Maya dengan Swarovski,” katanya.
Ditanya mengenai keunikan nama Maya itu sendiri, Neelofa menjelaskan ia antara nama yang telah disenarai pendek dan dia memilihnya kerana ada sisi kelembutan dan feminiti pada masa sama, menyerlahkan keberanian.
Dan sudah pastinya, kerjasama Neelofa dengan Swarovski sudah dijangkakan kerana aktres jelita ini adalah duta jenama ini.
Sumber : Jelita.com.my