Nicole Scherzinger mengesahkan berita keberadaannya di Johor untuk membuat persembahan di majlis perkahwinan Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah malam tadi menerusi beberapa post di Instagram miliknya.
Bekas penyanyi utama kumpulan Pussycat Dolls itu turut berkongsi sebuah video dirinya mengenakan gaun berona merah terang dengan kapsyen berterima kasih kepada Michael Costello untuk gaunnya itu buat persembahannya pada malam tadi untuk keluarga Diraja.
Post tersebut diikuti dengan sekeping gambarnya berdiri di hadapan pintu masuk Istana Bukit Serene yang dipenuhi dengan cahaya lilin. Menerusi post itu, Scherzinger dilihat mengenakan busana serba hitam menampakkan bentuk tubuhnya yang cukup langsing.
“Dengan rasa hormat saya mempersembahkan muzik serta suara saya di Istana Diraja malam ini,” tulisnya menerusi kapsyen gambar tersebut.
Bintang terkenal ini turut merakam dirinya pergi ke outlet KFC untuk memesan makanan yang ditemani oleh polis pengiring menerusi Instastory.
Melihat pada InstaStory milik penyanyi ini, terlihat seakan jurumekap profesional tempatan, Sheng Saw yang merias solekan wajahnya pada malam tersebut.
Tidak dapat dipastikan sama ada Scherzinger masih berada di Malaysia atau pun tidak tetapi dia sempat memuat naik sekeping gambar matahari terbit di pantai Lido Johor Bahru pagi tadi.