Tidak hanya menjadi berita baik buat pasangan suami isteri, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, malah ia juga menjadi satu berita gembira buat masyarakat di Malaysia yang senantiasa mendoakan kebahagiaan buat pasangan ini.
Pengumuman berita ini disampaikan sendiri oleh penyanyi nombor satu negara itu di kediamannya yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Berita kehamilannya yang kini mencecah empat bulan usia dikongsikan sejurus selepas majlis kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di kediamannya secara tertutup bersama suaminya serta beberapa orang anak mereka.
Sebelum melakukan pengumuman tersebut, Datuk Siti sempat memuat naik sebuah entri di Instagramnya yang memaklumkan akan pengumuman tersebut. Rata-rata peminatnya sudah dapat menjangka akan berita gembira itu.
Sejurus selepas selesai melakukan pengumuman di kediamannya yang turut dihadiri beberapa rakan media, Datuk Siti mengongsikan berita itu di Instagramnya menerusi sekeping gambar berserta kapsyen tentang kehamilannya.
Sememangnya ramai tahu yang pasangan ini menanti selama 11 tahun untuk berita baik ini, Datuk Khalid juga mempunyai harapan sendiri.
“Memandangkan saya sudah ada empat anak lelaki, jadi saya mengimpikan anak perempuan pula,” kata Datuk Khalid kepada Harian Metro.
EH! mengucapkan tahniah buat Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Khalid. Semoga segalanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.