Berita tentang Brad Pitt dan bekas isterinya, Jennifer Aniston kini menjadi bualan ramai setelah bekas suami kepada Angelina Jolie itu dilihat menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-50 Aniston. Ini sebab sebenarnya bintang kacak itu pergi ke majlis tersebut.
Brad Pitt dikatakan adalah tetamu paling mengejut yang hadir ke parti ulang tahun kelahiran bekas isterinya, Jennifer Aniston di Los Angeles pada hujung minggu lalu. Menurut laporan People dan Entertainment Tonight, undangan dan kehadiran Pitt dipersetujui oleh kedua-dua selebriti itu, Aniston dan Pitt.
Laporan People mengatakan yang Aniston cukup teruja kerana Pitt hadir tetapi pada asalnya dia seakan teragak-agak untuk mengundangnya.
"Brad, adalah seorang yang pernah menjadi sebahagian besar dalam hidup Jen. Dia turut memperdebatkan bersama teman-temannya jika dia sepatutnya mengundang Pitt," kata sumber terdekat.
"Dia amat gembira yang Pitt hadir di majlis tersebut. Ramai teman rapat mereka juga hadir di parti itu."
Aniston melayan Pitt sama seakan tetamu yang lain. Bahkan dia juga dikatakan tidak terlalu memberi perhatian lebih terhadap Brad.
"Mereka ada berpeluk dan berbual sekejap, tetapi Jen terlalu sibuk dalam memastikan kesemua tetamu undangannya menikmati malam tersebut," tambah sumber.
Menurut sumber lagi, Pitt hadir di parti itu kerana dia mahu menunjukkan tanda sokongannya terhadap Aniston sejak mereka berdua masih berkawan baik selepas beberapa tahun berpisah.
Nama Pitt dimasukkan ke dalam senarai tetamu beberapa minggu yang lalu dan disebabkan juga dia berada di kota itu, dia dengan senang hati dipilih untuk menghadiri parti tersebut.
Namun, Pitt tidaklah terlalu lama berada di parti Aniston. Kata sumber lagi, dia hanya hadir untuk menyokong Aniston, bersua seketika dengan teman-teman dan kemudian beredar.
Aniston dan Pitt berkahwin pada tahun 2000 dan hanya kekal sehingga tahun 2005. Dan selepas kedua-dua perkahwinan antara Pitt dan Angelina Jolie, dan Aniston dan Justin Theroux berakhir, satu spekulasi timbul apabila dilihat Aniston dan Pitt masing-masing kembali solo dan agak kerap berhubung, khabar angin tentang hubungan romantik mereka mula menjadi persoalan ramai.
Walaubagaimanapun, sumber terdekat dengan pasangan ini menolak sekerasnya akan spekulasi itu kerana dikatakan yang sebelum ini mereka berpisah disebabkan isu yang cukup serius dan tiada sebarang tanda yang mereka akan kembali rujuk bersama.