Baru tiga hari dilancarkan, peminat sudah pun membuat spekulasi mengenai jalan cerita video muzik terbaru The Weeknd, Save Your Tears.
Dalam video tersebut, dia tampil dengan penampilan yang cukup mengejutkan – wajahnya bengkak seperti disuntik botoks, hidung bengkok dan terdapat kesan parut di tepi wajah seolah baru menjalani pembedahan plastik.
Ia merupakan kesinambungan daripada dua penampilannya sebelum ini. Pada Ogos tahun lalu, penyanyi R&B ini muncul di atas pentas MTV Video Music Awards dengan wajah berdarah seolah tercedera. Dua bulan kemudian, dia tampil di acara American Music Award dengan konsep yang sama, kali ini wajahnya berbalut dengan kain pembalut putih.
Peminat-peminat yang sudah menonton video muzik tersebut mula mengeluarkan teori sendiri bahawa perjalanan lagu tersebut mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadi The Weeknd.
Dalam video tersebut, dia membuat persembahan di majlis tari-menari yang diadakan dalam suasana menyeramkan, di mana penonton yang hadir memakai topeng wajah. Peminat di Twitter mula membuat teori bahawa ia merujuk kepada selebriti yang berpura-pura atau talam dua muka di majlis anugerah.
Ada yang percaya keseluruhan video tersebut menyindir Anugerah Grammy secara spesifik kerana tidak memberi The Weeknd apa-apa pencalonan bagi tahun 2021 walaupun berjaya dari segi komersial dan profesional untuk album After Hours dan lagu Blinding Lights.
Terdapat beberapa petunjuk yang menguatkan spekulasi tersebut, antaranya pada minit ke 1:50 di mana dia dilihat memegang trofi emas. “I broke your heart like someone did to mine / And now you won’t love me for a second time,” dia menyanyi sebelum melempar trofi tersebut. Tambahan, wajah ‘palsunya’ dianggap mewakili tekanan daripada industri muzik untuk menjadi sempurna.
Belum ada apa-apa pengesahan daripada The Weeknd mengenai spekulasi tersebut, namun beberapa perkara menguatkan desas-desus itu.
Lagu Blinding Lights berada di tangga teratas Billboard Hot 100 selama empat minggu, manakala album After Hours muncul di Billboard 200 dan mencatat sejarah apabila mendapat strim paling tinggi dalam seminggu untuk album R&B. Satu kejayaan yang membanggakan, namun nama The Weeknd tiada dalam senarai pencalonan Anugerah Grammy.
Penyanyi ini meluahkan rasa kecewa di Twitter, mengenai Grammy yang mudah disogok untuk kepentingan sendiri dan perancangan mereka untuk The Weeknd membuat persembahan di majlis tersebut, namun sebenarnya dia tidak dijemput.
“Grammy akan terus menerus disogok. Kalian berhutang kebenaran kepada saya, peminat saya, dan industri…” tulisnya. Keesokan hari, dia memuat naik satu lagi tweet berbunyi “Berminggu-minggu merancang persembahan bersama tapi kemudian tidak dijemput? Pada pendapat saya, tiada pencalonan = tidak dijemput!”
Antara selebriti yang turut mempertikaikan pencalonan ini adalah Scooter Braun, Akon, Charlie Puth, Kid Cudi dan Sean Leon yang rata-ratanya mengatakan The Weeknd “telah ditipu”.
Foto: Billboard.com
Baca: Giliran Lisa dan Rose Blackpink Tampil Dengan Lagu Solo