Nama penyanyi Last Hurrah, Bebe Rexha hangat di Twitter beberapa hari lalu apabila dikhabarkan meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan.
Rexha kemudian membalas ciapan tersebut mengatakan peminat hanya memberi reaksi berlebihan terhadap khabar angin kematiannya, yang mula tersebar Selasa lalu. Dia menulis, “Saya tidak aktif di internet hanya tiga hari, dan tersebar berita mengatakan saya sudah meninggal dunia, malah lebih teruk akibat overdose?!”.
Tidak lama kemudian, Rexha menyedari bahawa “Bebe Rexha died” adalah hasil isian automatik ketiga di Twitter untuk carian namanya.
Malah beberapa peminat turut menghantar tangkap layar ciapan palsu tersebut yang memberitahu CNN telah mengesahkan berita kematian itu dan keluarga Rexha telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi.
Terdapat peminat mengatakan “mesej buki palsu” muncul di timeline mereka, yang rupa-rupanya merujuk kepada ibu Rexha yang bernama Bukurije.
“Oh Tuhan, semoga dijauhkan. Ini sesuatu yang teruk, semoga dijauhkan.” Dia kemudian menambah, “Mengapa mereka mengaitkan ibu saya dalam penipuan ini?”.
Peminat turut mengecam dakwaan palsu ini dan menyelarnya sebagai sesuatu yang menjijikkan. Namun Rexha sempat berjenaka di Twitter dengan menulis, “Saya hantu. Saya menulis dari dalam almari di bilik tidur anda. Boo.”
Walaupun asal-usul ciapan ini tidak diketahui buat masa ini, Rexha tidak mengambil masa yang lama untuk menutup khabar angin yang tidak masuk akal ini dan memberi jaminan kepada peminat bahawa dia masih hidup.
Sebelum itu di Instagram Story, dia berkongsi video dirinya menyanyikan lagu Britney Spears dan menayang rias kuku terbaharu.
Dakwaan palsu mengenai kematian bukanlah perkara baharu di Hollywood. Ramai selebriti pernah berhadapan dengan isu ini antaranya Usher yang dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 2012.
Foto: Slaven Vlasic / Getty Images