Label fesyen Armani Exchange sentiasa berevolusi, menghadirkan rekaan yang merencamkan pelbagai stail dengan berpaksikan aspek kontemporari. Bersesuaian dengan kehendak pengikut fesyen masa kini.
Bertepatan dengan musim bunga/panas 2021, Armani Exchange menawarkan rangkaian yang mencabar identiti, kerana inspirasi yang tersemat pada tiap rekaan sengaja direka untuk tidak menurut aturan dan kelaziman masyarakat. Konsep genderless menjadi tunjang kepada rekaan musim ini. Asimilasi gender yang dicadangkan tentunya memberi ruang dan peluang buat golongan peminat label Armani Exchange untuk mencuba pelbagai gaya. Teknik suai padan yang mencabar kreativiti. Tidak tertumpu dengan itu sahaja, tema ‘urban street’ yang tersisip turut menghidupan modern attitude.
Rangkaian the Icon Pieces yang dimuatkan dalam koleksi ini, dihangatkan lagi dengan tampilan logo ‘maxi-lettering’ pada variasi warna kemeja-T, baju panas, jaket windbreakers, serta helaian asas seperti seluar. Yang mana, keseluruhan rekaan dipengaruhi trend fesyen era ‘90-an yang kekal menjadi kegemaran kelompok muda. Kecemerlangan rekaan diteguhkan lagi dengan helaian statement lain, yang hadir dalam rencam warna neon yang cukup lantang.
Rekaan berteraskan dekoratif neon yang dinamakan the Neon Accents Series, cukup nyata menyimbolkan aspek kontemporari Armani, pada masa sama menonjolkan kecintaannya pada ruang lingkup gaya futuristik. Mainan logo pada beberapa rekaan memangkinkan bold attitude buat mereka yang menyarungkannya nanti.
Siluet yang ditawarkan amat selesa dan ditawarkan untuk semua yang bersifat atletik yang memudahkan ia digayakan dengan helaian lain. Menepati gaya ‘street style yang bersifat athleisure.
Berkembang dengan permintaan dunia sekarang, Armani Exchange turut menggalakkan kelestarian fesyen dalam berkarya. Armani Exchange mengentalkan semangat komuniti menerusi kraf rekaan musim ini. Material yang dihasilkan untuk koleksi ini menggunakan bahan-bahan kitar semula dan produk yang dilestarikan. Menyentuh tentang perkara ini, ternyata koleksi ini turut memfokus pada kecermatan menjaga alam.
#ArmaniExchange
Artikel berkaitan: Levi’s® x Pokemon, Meraikan 25 Tahun Keberadaan Francais Pokemon