Menjelang musim panas, H&M dengan bangganya melancarkan koleksi Summer Stories, bertepatan dengan musim perayaan, Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi. Kempen koleksi ini menampilkan Azira Shafinaz, pelakon, penyanyi dan penari; Bella Dally, pelakon dan model; dan Yaya Zahir, pelakon dan usahawan, masing-masing memiliki karakter yang berbeza termasuk punya harapan tersendiri, kepelbagaian dan jiwa bebas yang terdapat dalam diri mereka.
Kecirian tersebut yang telah merangsang keyakinan mereka dalam melakukan apa jua, sama ada pembawaan diri atau mengerjakan pekerjaan, sehinggalah dapat mencipta nama dalam bidang masing-masing. Di samping itu, kempen ini turut menyampaikan mesej ‘women empowerment’ dan saling menyokong antara satu sama lain.
Selebriti berbakat, Azira menyalurkan emosinya melalui seni, platform terbaik untuk menjadi dirinya sendiri. Bella pula sering menjalani aktiviti luar, menemui kekuatannya melalui kesatuan dan diversifikasi. Sebagai seorang usahawan pula, Yaya membuktikan ketabahannya melalui pengalamannya dalam menjalani perniagaan terutamanya sewaktu dia mula-mula mengasaskan jenama sendirinya.
“Saya haruslah rasa selesa untuk menjadi diri sendir. Ia merupakan faktor terpenting dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan itu. Ketika saya berada di atas panggung, saya ambil kesempatan itu untuk saya bersikap vokal, mengekspresikan diri dan pada masa yang sama, dapat menginspirasikan orang lain untuk melakukan hal yang sama,” menurut Azira lagi.
“Saya sangat berbesar hati berpeluang menjadi sebahagian daripada kempen ini, tambah lagi disamping dua wanita luar biasa ini,” kata Yaya. “Sebagai wanita moden yang menjalani kehidupan serba sederhana, ia amat penting untuk kita sentiasa bersatu, namun tetap setia kepada diri kita sendiri dan sentiasa mencari kekuatan dalam apa jua cara pun!,” sambung Yaya lagi.
Koleksi Summer Stories meraikan alam dan bunga-bungaan, ibarat kebun bunga yang dipenuhi pelbagai jenis bunga mewangi. Diilhamkan oleh keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian dan kebebasan yang diterapkan melalui pilihan corak serta siluet dress yang dipertaruhkan. Sebahagian besar pakaian dari koleksi ini diperbuat daripada 100% kapas organik atau campuran kapas organik dan linen. Material baju yang cukup akrab dengan pakaian musim bunga, selain itu menjamin keselesaan.
Seluruh koleksi kapsul dilengkapi dengan cetakan bunga yang indah yang merupakan hasil karya pasukan reka bentuk cetak H&M, Abigail Morris, Kavita Ravaliya, Holly Watts dan Florentin Bodet. Mereka mencampurkan elemen alam juga bunga-bunga kegemaran mereka, yang mana bunga-bunga liar diterjemahkan menjadi cetakan bunga berulang, melukisnya dengan ketelitian. Hasilnya adalah dress musim panas yang sempurna yang menangkap aspek rumit alam, serta menyemat elemen kepositifan dan keterbukaan.
Setiap rekaan yang terkandung menggabungkan elemen feminin dan kontemporari yang menarik serta cetakan bunga yang eksklusif. Terinspirasi dari bentuk dan siluet bunga, gaun maxi yang ditawarkan, punya butiran yang kemas, perincian seperti kelopak dan lengan baloon. Gaun tanpa lengan mempamerkan ruffles halus atau tali, sementara helaian tube top dan skirt mempunyai getah pada pinggang yang mudah dipakai, cukup bebas untuk digayakan sepanjang musim panas.
Palet warna khusus koleksi ini terdiri daripada warna putih, hijau muda dan kuning. Aksesori utama termasuk topi jerami dan selendang dengan cetakan bunga yang sama dengan pakaian dalam koleksi baharu ini.
Artikel berkaitan: Furla Lancar Koleksi Aksesori Dengan Line Friends