Tom Ford Beauty menyunting aktor popular Korea Selatan, Hyu Bin sebagai wajah rasmi buat haruman terbarunya.
Bermula bulan ini secara rasminya bintang siri ‘Crash Landing on You’ ini menjadi wajah rasmi buat haruman Tom Ford. Tom Ford Beauty dalam perkongsian khabar ini dengan bangganya mengumumkan Hyu Bin sebagai Tom Ford Fragrance Attache pertama di Asia Pasifik.
Aktor dengan ketinggian 1.85 meter ini dalam satu kenyataannya pula berkata, “sebagai salah seorang peminat haruman Tom Ford sejak sekian lama, pemilihan ini adalah satu penghargaan dan cukup istimewa, saya teruja untuk terus bekerjasama dengan mereka.”
Hyu Bin yang dilahirkan pada 25 September 1982 memulakan karier lakonannya sejak tahun 2003 dan tiga tahun kemudian dia naik ke pentas menerima anugerah Pelakon Paling Popular menerusi filem ‘Millionaire’s First Love’ di malam Korean Baeksang Art Awards. Pada tahun yang sama juga Hyu Bin menerima trofi pelakon lelaki terbaik menerusi siri ‘Snow Queen’ di majlis KBS Drama Award.
Tidak cukup dengan itu pada tahun 2011 Hyu Bin menerima Baeksang Art Award Grand Prize atas kecemerlangan aksinya di dalam siri ‘Secret Garden’. Siri ‘Crash Landing on You’ yang dibintanginya pula mencetus fenomena dan mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai drama kedua mencatat rating tertinggi dalam sejarah televisyen Korea. Tahun ini Hyu Bin Bakal muncul dalam filem ‘Bargaining’.
Sebagai langkah pemula, wajah Hyu Bin diabadikan dalam kempen buat Haruman Tom Ford musim panas, Tom Ford Private Blend Soleil Brûlant. Haruman ini dimewahkan dengan bau-bauan kuntuman amber, Soleil Brulant yang diadun mesra dengan kesegaran aroma mandarin dan bergamot. “Kehangatan amber dan campuran flora menyerlahkan keaslian Haruman ini Soleil Brulant membuat anda ketagih, inilah versi Soleil paling menonjol,” kongsi Tom Ford.
Tom Ford Private Blend Soleil Brûlant kini di butik Tom Ford Beauty Suria KLCC serta Pavilion Kuala Lumpur, dan milikinya pada harga RM290 (10ml), RM 1480 (50ml) dan RM 3770 (100ml).