YSL Beauty menambah satu lagi rangkaian istimewa bagi himpunan gincu The Slim, kali ini rumah fesyen Paris ini hadir dengan The Slim Velvet Radical
The Slim antara bintang gincu di YSL Beauty. Teksturnya yang menawan kalbu berserta saiz dan batang gincunya yang tipis dan dibekaskan dalam kelongsong sofistikated. Terbaru, The Slim hadir dalam varian atau himpunan yang lebih mewah cita rasanya yang mana ia tampil dalam tekstur baldu pada kemasannya.

The Slim Velvet Radical dibarisi dengan pilihan 12 warna, dicipta menggunakan penemuan teknologi baharu yang memberi fokus bukan sahaja pada kemasan dan tekstur malah keselesaannya pada bibir. Ia dilengkapi dengan ‘Hemispherical fillers’ yang membuatkan lapisan gincu terasa lembut pada bibir. Ia juga disempurnakan dengan minyak silky untuk efek lembap dan hasilnya sebatang gincu yang meluncur laju saat dicalitkan pada bibir.
Kempen The Slim Velvet Radical mengabadikan dua wajah ikonik YSL Beauty masa kini, Zoe Kravitz dan supermodel British, Edie Campbell. Riasan wajah disempurnakan oleh Tom Pecheux, gambar kempen ini diabadikan oleh jurufoto legenda, David Sims.
7 Soalan Bersama Tom Pecheux, Pengarah Kecantikan Global YSL Beauty

Apa yang membuatkan rangkaian atau Francais gincu The Slim dianggap revolusi?
Gincu The Slim terus-terusan melintasi batas ilham tidak kira sama ada dari segi kreativiti mahupun teknologi. Samalah juga seperti fesyen, semuanya berkait rapat dengan mencari teknologi terbaik dan idea paling kreatif untuk memastikan ia selesa dan cantik dipakai. The Slim terus melangkah ke hadapan dengan The Slim Velvet Radical yang mana ia adalah hasil garapan kreativiti, teknologi dan keselesaan, ketiga-tiga digerakkan seiring.
Apa yang kamu sukakan sekali tentang formula gincu ini?
Saya sangat sukakan formula gincu ini kerana kami betul-betul berusaha mencari ilham baharu dan mencipta tekstur gincu yang unik. Saya ia menakjubkan untuk dicalitkan pada bibir, lembut san sensual. Ia memberi liputan menyeluruh dan tekstur pusamnya menyelesakan, tidak kering langsung. Ia juga tahan lama berbanding gincu dalam tekstur krim biasa mudah hilang selepas beberapa jam. Ia juga melindungi bibir.

Apakah cara terbaik untuk memakai gincu yang menonjol warnanya?
Cara aplikasinya sama seperti warna-warna gincu yang lain. Batang gincu ini tirus dan memang dicipta untuk wanita yang suka mencalit bibir terus dari batang gincu bukan menggunakan berus atau pensel bibir. Teksturnya solid dan dalam amsa yang sama masih berkrim, dan ini membuatkan calitan lebih mudah. Biasanya saya akan mulakan dengan mencalit pada bahagian tengah bibir, iaitu pada lekuk bibir atas kemudian barulah menluncurkan batang gincu pada bibir bawah. Biasanya saya akan menyuruh model yang saya calitkan gincu menggosok-gosok bibir atas dan bawah mereka. Usah terlalu kuat ya.
Apa kaitannya The Slim Velvet Radical dengan fesyen?
The Slim yang pertama atau versi debut cukup berjaya dan kami tertanya-tanya apa yang boleh kami perbaiki, bagaimana mahu hasilkan rangkaian yang lebih baik baik dari yang sudah dilancarkan? Bagaimana untuk kami terus bergerak ke hadapan? YSL Beauty cukup sinonim dengan kosmetik yang penuh warna, malah sebelum ini pun memang kita banyak merujuk kepada fabrik bila memikirkan tentang warna-warna kosmetik termasuklah dalam mencari ilham untuk warna-warna gincu. Dalam himpunan Couture, kain baldu antara fabrik yang penting, dan warna pada fabrik ini begitu menawan dan ia memantul cahaya dengan cara yang cukup unik dan dalam masa yang sama ia juga sedap dan selesa dipakai. Ada sesuatu yang menarik tentang baldu, dan anda akan sentiasa mahu memakainya, ia membuat kita berasa cukup gembira menyarungnya.

Apa yang paling anda sukakan tentang fabrik baldu?
Adalah sesuatu yang mengasyikan bila kita dapat menyentuhnya, ia sangat halus dan terasa cukup mewah, dan cara baldu menangkap cahaya adalah sesuatu yang sangat istimewa.
Boleh kongsikan warna gincu yang hangat untuk musim ini?
Apa sahaja warna yang kita suka. Pakailah warna apa yang anda suka, pilih yang anda suka bukan kerana anda lihat orang lain memakainya. Apa yang pasti gincu akan kembali hidup dan diraikan musim ini.
Boleh ceritakan solekan yang anda kenakan pada wajah Zoe?
Apabila kita mahu menonjolkan bibir, yang lain biarlah seringkas mungkin. Jadi saya lebih suka membiarkan bahagian yang lain togel sahaja. Bibir Zoe sendiri sudah cukup menyerlah dan sofistikated dengan calitan gincu pusam. Cukuplah buatkan satu kompleksi wajah yang berseri dan sihat.