Aesop menerokai kebaikan parsley seed yang mana manfaat biji pasli sememangnya diakui mewah dengan bahan antioksidan.
Label kecantikan kelahiran Australia ini saya anggap sebagai satu jenama penjagaan diri yang cukup utuh dengan estetika yang tersendiri. Aesop memang jaguh dalam trademark atau identiti dirinya. Penggunaan botol gelap dalam majoriti rangkaian produknya cukup disukai. Ia tampak bersahaja namun ada kelas.
Tidak bergantung pada ‘imej’ semata, Aesop juga mengiringi kekuatan identitinya itu dengan produk berkualiti yang hadir dengan pelbagai formula berkesan buat penjagaan dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Saya sendiri sangat sukakan skrub badan dari jenama ini, kulit berasa segar dan bau geraniumnya membuat minda terasa tenang.
Terkini, Aesop menerokai kebaikan parsley seed yang mana manfaat biji pasli sememangnya diakui mewah dengan bahan antioksidan. Aesop mengetengahkan rangkaian Parsley Seed Skin yang memberi titik tumpu kepada Parsley Seed Anti-Oxidant Intense Serum. Serum ini dimewahkan dengan formula yang menghidrat kulit juga melindunginya daripada kesan pencemaran. Menariknya, sama seperti kebanyakan produk Aesop yang lain, rangkaian ini dicipta dengan formula yang mesra dengan semua jenis kulit termasuklah mereka yang berkulit sensitif.
Parsley Seed Anti-Oxidant Intense Serum ditambah baik dengan alga merah dan tara gum yang membuatkan serum ini memberi ruang untuk kulit bernafas. Ia menguatkan lapisan kulit agar utuh melawan dan meminimumkan partikel kotoran yang merosakkan kulit. Turut ada di dalam sebotol serum ini ialah bahan-bahan lain seperti teh hijau, biji anggur dan tocopherol atau vitamin E. Teksturnya ringan dan sangat sesuai dengan cuaca negara kita yang panas-lembap (humid).
Cara menggunakannya mudah, titikkan dalam empat ke lima titis pada tapak tangan dan sapukan pada wajah yang sudah dibersihkan. Luangkan sedikit masa untuk mengurut wajah dengan lembut agar manfaat ini dapat diserap oleh kulit. Untuk siang sempurnakan sapuan dengan krim tabir suria. Untuk malam pula boleh tambahkan dengan pelembap untuk belaian ekstra.
Parsley Seed Anti-Oxidant Intense Serum, RM320 (60ml), dan RM310 (60ml dengan ‘screw cap’).