Berpandukan kejayaan Le Pliage Filet yang diperkenalkan tahun lalu, Longchamp memanjangkan lagi rangkaian ini dengan memperkenalkan edisi terkini.
Apabila Longchamp memperkenalkan Le Pliage Filet tahun lalu, ia dengan pantas mencipta fenomena tersendiri. Siapa sangka beg sebegitu (ramai juga memanggilnya beg pasar) boleh tampil sangat stylish dan bersahaja. Tambahan pula ia dimunculkan dalam warna-warna terang, secara tidak langsung membuatkan beg ini cukup menonjol, dari jauh sudah nampak.

Malah dalam salah satu babak di dalam siri Emily in Paris (musim kedua), pemeran watak utama iaitu Lily Collins juga dilihat menggayakan beg tangan ini sewaktu adegan dia membeli bahan-bahan memasak bersama pasangannya ‘Gabriel’ yang mana watak ini dibawakan oleh Lucas Bravo. Beg dalam kuning lemon yang dijinjit ‘Emily’ itu cukup menyerlah, padan sekali dengan gaun jingga yang digayakan didalam babak tersebut.
Kejayaan himpunan beg ini tahun lalu telah menyuntik semangat untuk Longchamp mempelbagaikan lagi edisi beg ini. Sebagai pembuka tahun 2022, Longchamp memperkenalkan koleksi ini dalam versi saiz yang lebih kecil. Tampil dalam gaya beg silang, Le Pliage Filet Crossbody Bag XS dilihat lebih bersahaja dan sesuai untuk digayakan dalam padanan yang lebih cool. Pengenalan edisi mini ini juga dilihat sebagai satu idea bijak sementelah penggayaan beg mini begitu popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk koleksi beg tangan ini, rumah fesyen Paris ini menjalin kerjasama dengan FILT, iaitu sebuah pengilang terkenal (juga tertua) di Paris dalam penghasilan beg jaring. Koleksi Le Pliage Filet tahun ini hadir dalam tiga warna ceria iaitu lemon, merah samar dan biru.
Le Pliage Filet dijual pada harga RM535, manakala versi yang baharu, Crossbody Bag XS, RM415. Koleksi ini boleh didapatkan di butik Longchamp juga di pautan ini.
Baca: Longchamp Perkenal Le Pliage Green, Beg Ikonik Yang Diperbuat Daripada Bahan Kitar Semula