Bintang pop, Cody Simpson bakal mewakili Australia ke Sukan Komanwel 2022 selepas menduduki tempat ketiga di Kejohanan Renang Australia.
Dari pentas nyanyian ke kolam renang, transformasi Cody Simpson kepada atlet renang antarabangsa terus mencipta sensasi. Kini, bintang pop berusia 25 tahun itu bakal mewakili Australia ke Sukan Komanwel 2022 selepas menduduki tempat ketiga di Kejohanan Renang Australia.
Berasal dari Gold Coast, Australia, Cody Simpson berjaya mencatatkan masa 51.96 saat untuk kategori 100 meter kuak kupu-kupu yang membolehkannya layak ke Sukan Komanwel tahun ini. Pemegang rekod Australia, Matthew Temple menduduki tempat pertama dengan 51.50 saat, manakala juara Olimpik, Kyle Chalmers pula berada di kedudukan kedua.
“That’s a dream come true,” kata penyanyi pop yang popular dengan lagu seperti “Pretty Brown Eyes”, “La Da Dee” dan “All Day” itu.
Tambahan, catatan masa yang dilakukan bekas kekasih Gigi Hadid dan Miley Cyrus itu bukan sahaja melepasi syarat kelayakan badan renang antarabangsa FINA, ia juga membolehkan dia layak bertanding di kejohanan dunia yang akan diakan di Budapest pada Jun nanti. Sukan Komanwel akan diadakan di Birmingham, United Kingdom tahun ini.
Sebelum bergelar penyanyi, Cody Simpson merupakan perenang peringkat negara ketika dia masih lagi di bangku sekolah. Dia kini berlatih bersama juara dunia dan Olimpik dari Australia iaitu Emma McKeon di puasat akuatik di Queensland. Menurut sumber, mereka juga merupakan pasangan kekasih.
Cody Simpson telah muncul dengan album pertama yang berjudul “Paradise” pada 2012. Album keeempatnya berjudul “Cody Simpson” telah dilancarkan tahun ini. Dia turut membintangi beberapa buah filem dan persembahan muzikal, seperti “Anastasia” pada 2018 sebagai pelakon utama.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: Mengembara Ke 1000 Dimensi Bersama Syafiq Kyle Dan Adriana Adnan