Tahun 2022 bakal berakhir meriah dengan persembahan mantap daripada Travie McCoy di ibu kota pada 31 Disember ini.
Travie yang merupakan penyanyi rap dan penulis lagu akan menjayakan konsert jelajah solo pertamanya di Zepp Kuala Lumpur pada jam 9 malam sekali gus meraikan malam tahun baharu bersama peminat.
Kehadiran penyanyi berusia 41 tahun ini merupakan satu khabar gembira buat penggemar muzik bergenre rap, reggae dan pop yang telah lama menantikan kunjungannya ke Malaysia.
Pengasas bersama dan bekas vokalis kumpulan rap rock, Gym Class Heroes ini bagaimanapun tidak bersendirian di atas pentas. Dia akan ditemani oleh Alexis Kings yang turut dijemput untuk menghangatkan suasana malam tahun baru.