Pernikahan yang dimetrai secara sah 10 Jun lalu menurut Dini Schatzmann adalah satu pilihan paling mudah sepanjang hidupnya. Baginya membawa hubungan cintanya bersama Janna Nick ke satu peringkat yang lebih tinggi adalah satu keputusan yang tidak memerlukan dia berfikir panjang. Ikuti temubual ekslusif EH! bersama aktor campuran Melayu-Swiss ini tentang kerjaya dan kisah ‘belakang tabir’ kasih sayangnya bersama Janna.
Apa yang terbaru dalam kerjaya Dini?
Ada beberapa yang projek yang menanti antaranya saya akan masuk ke set untuk sekuel sebuah siri, siri yang mana saya belum boleh kongsi lagi. Saya juga dalam keterujaan menanti filem pertama saya untuk muncul di pawagam. Malbatt, sebuah filem arahan Adrian Teh, dan bagi saya ia sebuah filem yang ‘besar’ dan saya seronok menjadi sebahagian daripada filem ini kerana ia banyak mengumpul pelakon berpengalaman. Kami shoot tahun lepas di Turki. Satu pengalaman yang menarik, saya bukan sahaja menimba pengalaman penggambaran sebuah filem dan dalam masa yang sama berpeluang belajar dan melihat sendiri bagaimana pelakon-pelakon lama di set.
Ini adalah filem pertama Dini, bagaimana persiapan sebelum ke set?
Sejujurnya saya nervous, ia sebuah filem yang sarat dengan emsej patriotik, tentang perjuangan askar Malaysia ke Turki dan ia berdasarkan kisah benar. Saya bukan saja perlu ada kemahiran sebagai seorang askar dan yang lebih mencabarnya bagaimana untuk menghidupkan karakter seorang askar pada zaman dulu. Saya perlu buat research lebih untuk merealisasikan watak ini.
Sudah lima tahun berlegar di industri lakonan, bagaiman Dini melihat perkembangan Dini dalam jangka masa ini?
Saya masuk ke dunia lakonan dengan sifar pengalaman. Satu hal yang saya sedar bila masuk ke dunia lakonan, ia bukan satu kerja yang mudah. Sebelum ini saya sama seperti sesetengah orang lain yang fikir berlakon itu senang, bila kita tengok TV kita tak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Dalam lima tahun ini saya bukan sahaja belajar untuk memperbaiki lakonan saya juga belajar apa yang perlu ada untuk jadi seorang pelakon yang baik secara menyeluruh, yakni bagaimana membawa diri di set, etika kerja, disiplin, sentiasa patuhi masa.
“Selama lima tahun ini saya cuba memperbaiki bagaimana saya berinteraksi dengan orang. Saya seorang yang introvert, jadi sewaktu mula-mula berlakon saya sangat kekok bagaimana untuk membawa diri di set, tambahan pula pada waktu itu saya masih belum fasih berbahasa Melayu. Orang yang kenal saya mungkin faham tapi bagi orang yang tak tahu mungkin mereka fikir saya seorang yang cold.“
Saya datang ke Malaysia pada usia 24 tahun, dan sepanjang di luar negara saya rasa saya sudah cukup Melayu kerana di rumah ibu saya memang menerapkan gaya hidup orang melayu. Kami makan pakai tangan, sekecil-kecil benda yang dibuat di rumah mesti berkait rapat dengan cara orang Melayu. Bila di luar negara saya tahu saya berbeza dengan orang lain, saya memang anggap saya orang Melayu. Bila saya pulang ke Malaysia saya dapat rasakan orang memang lihat saya sebagai orang luar, tak cukup Melayu. Jadi saya sedar ada banyak benda yang saya kena belajar dan faham. Lima tahun yang sudah berlalu ini saya banyak belajar tentang budaya, adab, sensitiviti tentang orang Melayu dan orang Malaysia.
Apa yang ingin perbaiki tentang diri Dini?
Saya nak belajar bahasa. Saya membesar di banyak negara dan sepatutnya saya ambil peluang untuk belajar dan mahir berbahasa. Saya bukan orang yang bagus dari segi linguistik, saya lebih cenderung kepada Matematik kerana latar belakang pendidikan saya sendiri ialah engineering. Hari ini saya sedar yang ruginya saya tak ambil peluang untuk belajar bahasa lain kerana tak semua orang ada peluang seperti yang saya ada sebelum ini. Saya pernah menetap di Beijing tapi saya tak belajar bahasa Mandarin. Buat masa ini saya nak perbaiki bahasa Melayu terlebih dahulu, kemudian saya merancang mahu belajar Manadarin dan juga bahasa Arab. Bagi saya untuk mahir berbahasa ia akan mengambil, perlu dipraktikan setiap hari. Itulah cabarannya.
Dini mengatakan Dini seorang introvert, tetapi saya percaya bidang kerja hiburan memerlukan Dini menjadi seorang yang extrovert, mudah bergaul dan bersosial. Bagaimana memesrakan diri dengan situasi begini?
Saya tidak banyak kekuatan, tapi jika ada satu strength yang saya ada ialah saya seorang yang adaptable. Saya boleh menyuaikan diri dengan keadaan dengan cepat. Saban hari saya bertemu ramai orang, dan saya gunakan kelebihan itu untuk saya menyuaikan diri dengan orang lain. Sebagai seorang introvert, saya memerlukan banyak tenaga untuk bergaul dengan orang especially bila ada event misalnya. Selalunya bila pulang ke rumah saya akan ambil masa untuk diam dan bersendiri. Malah lebih sukar untuk saya bila dalam satu ruang itu ramai orang yang tak saya kenali. Berbeza di set penggambaran kerana kita build the connection kerana kita jumpa hampir setiap hari.
“Saya bukan cuba untuk jadi orang lain tetapi lebih kepada adapt to situation. Bidang ini perlukan kita menjadi seorang yang ada karisma, tahu bawa diri dan firm in a humble way.“
Janna seorang extrovert?
Orang akan lihat Janna sebagai seorang yang extrovert tetapi bagi saya dia sebenarnya ambivert. Apabila dia dengan teman-teman rapat dia sebenarnya banyak berdiam dan lebih banyak mendengar. Dia akan bagi ruang untuk orang lain bercakap.
Apa lagi karakter Janna yang mungkin tak ramai yang tahu?
Dia sebenarnya seorang yang sangat soft dan tak semua orang nampak dan tahu. Bila dia bekerja dia kena nampak strong dan firm. Dia juga seorang yang sangat ambil berat tentang orang lain, dia satu-satunya orang yang saya respect dalam hal ini (ambil berat tentang orang lain). Dia akan fikir macam mana nak bantu selesaikan masalah orang lain, dia suka invest masa untuk orang. Itu salah satu hal yang berbeza dengan diri saya, bukan saya tak caring, tapi saya lebih fokus pada orang yang rapat sahaja.
Jika boleh memutar semula masa, masih mahu bergelar pelakon?
Semestinya kerana saya memang benar-benar sukakan bidang ini, malah saya bukan saja cintakan kerjaya saya ini malah saya sudah mula develop rasa minat dalam bidang sinematografi. Saya mahu belajar dan explore tentangnya. Apa yang membuatkan saya suka kepada sinematografi kerana ia menyatukan antara teknikal dan kreativiti. Background pendidikan saya ialah kejuruteraan dan saya tak banyak ruang untuk berkreatif. Kerjaya sebagai pelakon beri ruang untuk saya berkreatif. Dan saya lihat sinematografi beri saya kedua-duanya. Bagi saya ia ada perfect balance. Jika ada peluang saya mahu sambung pengajian dalam bidang ini, walaupun kursus jangka pendek.
Apa sasaran Dini dalam masa lima atau 10 tahun akan datang?
Saya tidak tetapkan timeframe dalam hidup saya, yang mana saya sendiri tak pasti ini satu yang bagus atau tidak. Ada orang memang ada sasaran tertentu, dan mereka bergerak untuk capai hala tuju mereka itu. Saya seorang yang tiada timeframe, seperti berlakon, ia datang tanpa saya rancang. Hal ini selalu saya dan Janna bincangkan kerana dia seorang yang suka merancang termasuk untuk empat lima tahun akan datang. Ini antara hal yang membezakan kami. Saya tak berapa suka plan. Saya suka go with the flow dan macam saya cakap, saya pun tak tahu ini sesuatu yang bagus atau tak.
Ramai berpendapat orang yang berjaya adalah orang yang merancang berbanding dengan orang yang ambil their own sweet time. Tapi saya rasa semakin meningkat usia saya kena mula merancang, sudah mula kena fikir tentang keluarga. Fikir apa yang patut saya buat untuk membalas jasa kedua ibu bapa, give back to my family. Dan ini saya belajar bila melihat Janna, dia sudah bekerja sejak usia 16 tahun dan dia membantu keluarganya sejak muda. Saya agak bertuah kerana saya ada peluang untuk belajar dan semuanya disara keluarga sehingga saya tamat penhajian. Bila kita dah cari duit sendiri kita akan mula faham apa itu struggle. Bekerja bukan hal yang mudah, sama jugalah dengan mencari duit.
Dini seorang introvert, tapi bagaimana Dini mengekspresi perasaan khususnya dalam perhubungan?
Saya tak rasa saya seorang yang ekspresif, dan ia bukan kerana saya seorang introvert tapi mungkin kerana saya seorang lelaki dan ada jika ada masalah kita lebih suka simpan sendiri. Jika ada perselisihan sekalipun saya lebih suka bercakap dengan niat untuk selesaikan tanpa terlalu emosi. Saya seorang yang sabar dan itu juga sebenarnya menjadi beban kepada diri saya bila berlakon. Bila ada scene marah saya akan struggle kerana itu bukan diri saya.
Apa faktor utama yang membuatkan Dini sudah sedia memikul tanggungjawab sebagai suami?
Saya seorang yang sangat indecisive, apa-apa sahaja keputusan dalam hidup saya tak akan mudah membuat pilihan. Saya akan ambil masa untuk fikir. Kalau nak beli kasut misalnya, saya akan keluar masuk banyak kedai sebelum saya beli. Kalau nak beli kereta saya akan research, baca reviu, tengok YouTube misalnya. Saya overthink. Tapi pertama kali dalam hidup saya, saya tak perlu fikir apa-apa tentang Janna. Saya tak ragu-ragu, saya tak question diri saya. Saya susah nak terangkan tapi ia satu keputusan yang sangat senang. Jadi bila situasi ini berlaku saya rasa saya memang dah bersedia untuk pikul tanggungjawab ini.
BACA: Janna Nick Jawab 50 Soalan (Termasuk Tentang Dini Schatzmann)