Lebih 2000 tetamu memeriahkan pertunjukan dandanan rambut anjuran L’Oréal Professionnel, sekaligus mencatat sejarah sebagai penganjuran hair show terbesar di Malaysia.
Dari luar dewan lagi saya sudah dapat rasakan kemeriahannya. Majoriti yang datang malam itu semuanya sedondon hitam (termasuk saya), ada juga yang memadankannya dengan warna hijau, kerana itulah warna ‘rasmi’ iNOA, pewarna rambut kebanggan L’Oréal Professionnel. INOA, pewarna rambut telus air dan diangkat sebagai pewarna rambut nombor satu bebas amonia.
Sempena meraikan perkenalan pewarna rambut yang kini dipatenkan dengan teknologi ODS (Oil Delivery System), disempurnakan dengan formula vegan dan mesra wudhu, L’Oréal Professionnel menganjurkan satu pertunjukan dandanan rambut terbesar di Malaysia setakat ini, menghimpunkan pendandan profesional dari Singapura dan Malaysia.
Berlangsung di Kuala Lumpur Covention Centre (KLCC), acara ini bukan sahaja disaksikan oleh tetamu di ruang dewan semata, malah ia turut ditayangkan secara langsung di layar kaca di Singapura buat tetamu L’Oréal Professionnel di kota Singa.
9 PENDANDAN TERSOHOR DUA NEGARA
Malam tersebut menyaksikan seramai enam pendandan profesional dari Malaysia bergandingan dengan tiga pendandan ternama dari Singapura diiringi empat artis iD dari Malaysia menata gaya rambut 48 model yang melintasi pentas. Setiap model yang memperaga gaya dandanan malam itu tampil dengan karakter tersendiri, dan saya percaya setiap satu dandanan ada cerita dan mesej yang ingin disampaikan.
Kesemua inspirasi dandanan malam tersebut lahir dari iNOA sendiri, kebebasan berkarya dan berkreatif tanpa batas menjadi milik semua artis malam itu.
Sebagai pembuka, artis iD mempersembahkan idea dandanan dengan tema ‘Urban Rebel’ yang mana hala tujunya adalah menonjolkan ilham gaya jalanan, punk dan grunge, satu kreasi yang bertunjangkan ilham yang berani dan edgy.
Dark Enigma menjadi tema kedua yang mana konsep ini mengangkat warna hitam sebagai satu warna ikonik, mencabar idea artis untuk mengilhamkan satu dandanan yang penuh dengan estatika.
Persembahan dandanan rambut secara ‘live’ oleh sembila jurudandan profesional Malaysia dan Singapura menjadi penutup pentas, bila mana kesemuanya menonjolkan kreativiti dan visi mereka dalam dandanan dan pastinya menggunakan pengaruh inovasi, teknologi dan masa depan.
BACA: Semuanya Anda Perlu Tahu Tentang Pewarna Rambut Telus Air