Selebriti Malaysia menghiasi Billboard tempatan sudah menjadi kebiasaan tetapi menghiasi pada salah satu iklan digital terbesar dan paling popular di dunia di Time Square, New York pastinya sesuatu yang lain.
Kejayaan dan bakat yang datang dari negara kita sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa ini sekaligus membuatkan kita turut sama rasa bangga. Kita telah melihat ramai selebriti terkenal di papan iklan besar di sekitar Time Square, New York ini seperti Britney Spears, Justin Bieber, BLACKPINK dan BTS. Tetapi adakah anda tahu bahawa 11 selebriti wanita tanah air juga pernah menghiasi skrin papan iklan Time Square, New York? Mari lihat selebriti Malaysia Menghiasi Billboard antarabangsa ini.
Berjaya menempa nama di pentas Billboard antarabangsa, seorang demi seorang selebriti Malaysia menghiasi Billboard Time Square, New York.
1. Yunalis Zarai.
Nama Yuna sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Penyanyi yang mula melonjak naik menerusi lagu Dan Sebenarnya telah pun mencipta nama di pentas antarabangsa. Lebih membanggakan apabila yuna membuat penampilannya di papan iklan Time Square bukan sekali, bukan dua kali tetapi tiga kali! Penampilan pertama Yuna di papan iklan adalah pada 2016 dan sekali lagi pada 2018 ketika dia mempromosikan albumnya “Rogue”. Penampilan terakhirnya adalah pada tahun 2020 apabila dia dipilih sebagai wajah kempen Spotify “Our Roots, Our Sound.”
2. Layla Sania.
Tersenarai sebagai penyanyi Malaysia termuda yang dipaparkan di Papan Iklan Time Square. Siapa sangka gadis yang memenangi pertandingan nyanyian pada tahun 2018 ini akan berada di salah satu papan iklan paling popular di dunia. Penyanyi “By Your Side” itu berkongsi berita menakjubkan bersama peminatnya di Instagram. Layla meluahkan rasa teruja dan tidak pernah menyangka wajahnya akan menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat. Beliau berharap agar kempen ini dapat dijadikan inspirasi buat pemuzik wanita untuk melakukan sesuatu yang boleh mengubah dunia.
3. DOLLA.
Penyanyi berkumpulan, Dolla telah menjadi bintang ketiga dari Malaysia yang muncul di papan iklan digital tersohor Times Square, New York. Penampilan Dolla itu adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. Sabronzo yang mewakili Dolla berkata, mereka teruja ketika dimaklumkan perkara itu. Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu mula mengegar industri muzik tempatan dengan penampilan mereka yang agak berani serta gaya persembahan yang mengagumkan. Selepas menerajui carta muzik tempatan dengan single pengenalan mereka Dolla Makes You Wanna, kumpulan ini terus mencuri perhatian penggemar muzik tanah air sehingga kini.
4. Iman Troye.
Penyanyi yang memulakan karier nyanyiannya dengan membuat cover lagu-lagu dari penyanyi tempatan, Nur Iman Alyssa Sahabuddin, atau lebih dikenali sebagai Iman Troye telah menjadi bintang keempat yang hiasi papan gergasi digital tersohor di New York Times Square, Amerika Syarikat, selepas Yuna, Layla Sania dan DOLLA. Wajah Iman yang menghiasi billboard terkemuka itu adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh Spotify. Terdapat sebanyak 35 senarai lagu di dalam playlist EQUAL meliputi artis dari 50 negara dan Iman Troye merupakan wakil bagi Malaysia dan Singapura. Iman mengungkapkan rasa syukur atas penghormatan yang diberikan dan akui ia merupakan kejayaan terbesar buatnya yang masih agak baru dalam industri muzik Malaysia.
5. Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Pernah mencetuskan fenomena dunia hiburan sehingga dirinya dimartabatkan sebagai penyanyi nombor satu negara. Memiliki lebih 20 buah album, ratusan anugerah tempatan dan antarabangsa, aneka konsert mega termasuk persembahan gah di Royal Albert Hall di London, Dato’ Seri Siti Nurhaliza sememangnya layak menerima penghormatan ini. Beliau telah menjadi selebriti Malaysia kelima menghiasi papan iklan digital di Times Square selepas Yuna, Layla Sania, DOLLA dan Iman Troye. Dikurniakan suara yang merdu dan keperibadian yang menyenangkan, Dato’ Seri Siti Nurhaliza bukanlah satu nama asing buat rakyat Malaysia, namanya bukan sahaja sudah dikenali di tanah airnya sendiri tetapi juga di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain.
6. Aina Abdul.
Penyanyi kelahiran Johor, Aina Abdul juga pernah menghiasi skrin Papan Iklan New York, Time Square pada Mac 2022. Sama seperti penyanyi yang disenaraikan setakat ini, penyanyi lagu “Semalam” ini dipilih untuk kempen Spotify EQUAL mewakili Malaysia. Dalam catatan di Instagramnya, dia berterima kasih kepada pasukannya dan peminat yang bekerja keras untuk saat yang mengembirakan dalam hidupnya. Aina juga pernah menyatakan yang pendedahan itu merupakan perkara yang bagus untuk beliau dikenali di seluruh dunia.
7. Kaka Azraff.
Penyanyi, Kaka Azraff meluahkan semangatnya semakin berkobar-kobar selepas wajahnya terpampang menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkata, impian itu sudah diidamkannya sejak melihat rakan seperjuangan seperti Yuna dan Dolla turut menghiasi papan iklan ikonik terbabit. “Rasa macam tak percaya sangat. Bila melihat pencapaian itu, ia membakar lagi semangat saya untuk memberikan lebih usaha dalam kerjaya seni. “Saya juga pernah cakap dengan suami, perihal beginilah yang sebenarnya membuatkan saya enggan mengalah. Saya bukan nak banggakan diri semata-mata, tapi banggakan satu Malaysia,” Jelas kaka.
8. Ernie Zakrie.
Ernie, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, berkongsi pencapaiannya menghiasi papan iklan digital New York Times Square, Amerika Syarikat itu di Instagram miliknya pada 24 Mei 2023. Penampilannya itu mewakili negara sempena kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify. “Saya tak pernah terbayang yang satu hari nanti wajah akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia. “Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang artis,” katanya. Ernie yang dikenali sebagai penyanyi memiliki vokal hebat itu juga berkata, tahun ini banyak memberi kenangan manis buatnya secara peribadi.
9. Vanessa Reynauld.
Penyanyi dan penulis lagu Malaysia Vanessa Reynauld juga turut mencatatkan kejayaan dalam industri apabila dia dipaparkan di papan iklan ikonik di New York Times Square, Amerika Syarikat pada Januari 2022 melalui penglibatannya dengan kempen EQUAL oleh platform penstriman digital terkenal dunia, Spotify. Berkongsi keterujaannya, penyanyi kelahiran Klang itu berkata, sudah menjadi impiannya untuk dipaparkan di papan iklan terkenal dan menambah lebih seronok jika dia dapat melihatnya sendiri. Beliau juga turut berkata segala kerja keras yang telah diusahakan selama ini akhirnya membuahkan hasil.
10. Bunga Isme.
Tidak terkecuali dari deretan selebriti yang pernah menghiasi papan iklan gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat. Bunga atau pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatini menitipkan ucapan syukur diruangan komen bagi menggambarkan rasa gembiranya. Bunga merupakan antara pemuzik tanah air yang diiktiraf dalam kempen Equal oleh Spotify. Perkongsian dari Warner Music Malaysia itu juga telah menarik perhatian warganet serta selebriti Malaysia yang lain menitipkan ucapan tahniah sebagai tanda mengagumi penyanyi rap muda tersebut.
11. Aisha Retno.
Penyanyi Aisha Retno tidak dapat menggambarkan kegembiraan apabila menjadi artis tempatan terbaru menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat sempena kempen EQUAL oleh Spotify. Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata pencapaian itu paling terbesar buatnya setakat ini selama lebih 2 tahun berkecimpung dalam bidang seni. Menurut Aisha, dia sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan serta label rakaman yang merealisasikan hal itu. Beliau juga turut mengatakan syukur terhadap Spotify kerana telah menjadi platform yang berjaya realisasikan impiannya itu.
Artikel Berkaitan: Ini 7 Lagu Popular Taylor Swift Perli Bekas Teman Lelaki