L’Or de J ‘adore haruman mewah bernuansa keemasan, merai detik indah penuh makna sebagaimana Intan Najuwa, Raysha Rizrose dan Sharifah Rose meraikan momen manis penuh magis bersama tersayang.
Jika berbicara tentang haruman Dior, masakan sempurna andai tidak terbayangkan J’adore. Haruman klasik ini sudah berada di kelas ikonik, bukan sahaja aromanya malah sekali sebut sudah terbayangkan botol keemasannya.
Dan pada tahun 2023 ini, barisan haruman J’adore bertambah dengan lahirnya L’Or de J ‘adore yang menerima sentuhan buah fikir pakar haruman tersohor dunia, Francis Kurkdijan yang juga merupakan pengarah rekaan haruman Dior Parfums. Maestro dalam dunia pembikinan minyak wangi ini mencipta penyatuan ramuan baru yang membuatkan haruman ini bertambah harmoni dan seimbang.
Sempena meraikan kelahiran L’Or de J ‘adore, Dior membina pop-up eksklusif di Mid Valley Megamall penghujung Ogos lalu dan EH! Sempat singgah menerokai kemewahan pop-up ini. Tiga selebriti popular seperti Intan Najuwa, Raysha Rizrose dan Sharifah Rose turut menyertai kunjungan EH! ini.
MOMEN KEEMASAN
Bila disuakan pertanyaan akan hal yang akan segar di memori selamanya, kata Intan semestinya hari perkahwinannya. “Tiada perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan saya di hari perkahwinan saya,” katanya. Ya masakan boleh dilupa majlis pernikahannya yang berlangsung Julai lalu, dirai meriah di persisir pantai Desaru.
Baginya hari perkahwinannya adalah hari yang sangat indah sekali dan satu momen yang takkan pudar dari ingatannya. Samalah seperti L’Or de J ‘adore, haruman baru penuh sensual bagaikan mencipta satu momen keemasan yang selamanya akan dikenang-kenang.
Keluarga adalah segalanya, kebahagian itu bermula dari rumah. Dan bagi aktres Sharifah Rose, masa berkualiti bersama keluarga adalah yang paling dinanti-nanti. Kesibukan kerja, masa dan peluang bercuti bersama keluarga tdak datang selalu, tapi bila detik itu tiba ia adalah momen yang paling ‘berbunga-bunga’ bagi mereka.
Tambah Rose lagi pengalamannya bercuti bersama keluarga di Langkawi antara momen yang paling menggembirakannya. Dan seperti L’Or de J ‘adore, sebuah haruman yang sarat dengan aroma bunga-bungaan, dari orange blossom ke damascena rose dan juga melati, perasaan gembira itu menguntum rasa bahagia.
Kata Raysa golden dreams nya adalah untuk membuat suami dan keluarga berasa bangga dengannya. “Bagi sesetengah orang bunyinya biasa tapi bagi saya ia sesuatu yang besar,” kongsi aktres yang baru sahaja mendirikan rumahtangga awal tahun ini.
Dan baginya juga detik membawa hubungan cintanya sejak di bangku sekolah ke jinjang pelamin adalah detik yang sangat indah dan akan terus diraikan sampai bila-bila.
KEISTIMEWAAN L’OR DE J’ADORE
“Saya mahu beralih dari aura J’adore ke elemen keemasan J’adore. Saya mahu berikan esen tulin bunga-bungaan yang sudah menjadi identiti J’adore dengan menyuntik aroma bunga yang bersifat lebih mega, teksturnya yang baharu bagaikan menyembur cecair emas,” kata Francis Kurkdijan.
Ada tiga bunga yang menjadi subjek utama dalam gubahan haruman ini. Dan bunga-bunga ini dijadikan pati dan ada diadun dengan bahan lain untuk menyemarakan aromanya.
Orange Blossom, bunga ini menyalur rasa segar dengan pati nan asli dan nota haruman yang sungguh menyerlah. Ia mencipta sisi identiti haruman yang elegan dan bersifat feminin.
Bunga melati atau jasmin di dalam L’Or de J ‘adore sangat kuat baunya, diadun dengan badam, mangga dan pisang, dan kelebihan jasmin adalah elemen baunya teradun cukup harmoni dengan nota-nota lain.
Kuntuman bunga mawar Centifolia amat berharga, mempunyai aroma yang kuat dan kompleks. Bunga ros ini meraikan nuansa yang penuh kewanitaan.
Bagi anda yang mahu mendekati dan mengenali L’Or de J ‘adore, pop-up eksklusif ini akan gah berdiri di Suria KLCC dan anda boleh dapatkan maklumat terkini di pautan INI. Atau boleh sahaja klik pautan INI untuk mendapatkan haruman yang bakal menyambung legasi keagungan aroma Dior J’adore.
BACA: Le Baume, Produk Penjagaan Kulit Terbaru Dior Kesukaan Jisoo