Jake Gyllenhaal dikenali sebagai salah seorang bintang versatil dan terhebat dalam generasinya.
Jake Gyllenhaal memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem City Slickers yang ditayangkan pada tahun 1991. Ini diikuti dengan dua filem arahan bapanya, Stephen Gyllenhaal berjudul A Dangerous Woman (1993) dan Homegrown (1998).
Nama aktor berusia 42 tahun ini melonjak naik di Hollywood setelah menjayakan peranan sebagai Homer Hickam dalam October Sky (1999) dan remaja yang mempunyai masalah psikologi dalam Donnie Darko (2001). Sepanjang 32 tahun penglibatan dalam industri hiburan, dia telah membintangi lebih 50 filem dengan membawakan pelbagai watak mencabar.
EH! senaraikan 10 filem terbaik Jake Gyllenhaal yang anda harus ulang tonton
10. Jarhead (2005)
Jake Gyllenhaal memberi mutu lakonan terbaik dalam filem arahan Sam Mendes yang berlatarkan Perang Teluk Parsi. Membawakan watak Swofford yang tidak berkeyakinan dan suka berlagak berani, aktor ini membuktikan kepada Hollywood bahawa dia benar-benar mahu menjadi salah seorang pelakon terbaik dalam generasinya.
9. Brothers (2009)
Karya adaptasi daripada filem Denmark pada 2004 ini mengisahkan tentang dua beradik lakonan Jake Gyllenhaal dan Tobey Maguire yang mempunyai perasaan terhadap seorang wanita bernama Grace (lakonan Natalie Portman). Ketiga-tiga pelakon ini memberi persembahan terbaik, namun lakonan Jake Gyllenhaal yang tenang sebagai Tommy dianggap paling cemerlang.
8. The Guilty (2021)
Juga diadaptasi daripada filem Denmark, karya arahan Antoine Fuqua ini berkisar tentang seorang polis LAPD yang bekerja di pusat panggilan 911 sementara menunggu perbicaraan mahkamah. Hanya menerusi rakaman di pusat panggilan dengan fokus kamera ke arah Jake Gyllenhaal, ia mempamerkan evolusi aktor itu yang memberi persembahan menakjubkan walaupun sekadar duduk dan bercakap menerusi panggilan telefon.
7. Spider-Man: Far From Home (2019)
Selepas tewas di tangan Tobey Maguire untuk memainkan watak utama Spider-Man, Jake Gyllenhaal akhirnya ditawarkan watak penjahat Mysterio dalam filem Far From Home. Menurut pengkritik filem, dia membawakan watak licik itu dengan sempurna.
6. End Of Watch (2012)
Filem ini menyaksikan Jake Gyllenhaal dan Michael Peña bergandingan sebagai pegawai LAPD yang membuat rondaan di jalan-jalan dipenuhi geng samseng di South Central. Kedua-dua pelakon ini cukup serasi dan mereka berjaya menyampaikan mutu lakonan terbaik.
5. Donnie Darko (2001)
Filem inilah yang melonjakkan nama Jake Gyllenhaal di Hollywood. Dia menggalas watak sebagai Donnie, seorang remaja bermasalah yang mempunyai visi tentang seekor arnab ngeri yang memberitahunya bahawa dunia akan kiamat. Filem ini menjadi penanda aras penting baginya menerusi lakonan dramatik pada peringkat awal kerjayanya.
4. Prisoners (2013)
Dalam filem seram arahan Denis Villeneuve ini, pelakon-penerbit itu melakonkan watak detektif yang mencari dua kanak-kanak mangsa culik dengan penuh penghayatan sehinggakan sukar untuk anda mengalihkan pandangan daripadanya.
3. Stronger (2017)
Entah di mana silapnya, filem ini gagal mendapat perhatian yang sewajarnya walaupun disampaikan dengan begitu baik. Dalam filem ini dia memainkan watak Jeff Bauman yang kehilangan dua kakinya akibat pengeboman Marathon Boston 2013.
2. Zodiac (2007)
Dalam filem ini dia menggalas peranan sebagai Robert Graysmith, seorang kartunis akhbar yang obses dengan Zodiac Killer yang mengganas di kawasan Bay pada tahun 60-an dan 70-an. Pengarah David Fincher menggunakan kelembutan tutur kata Jake Gyllenhaal dan lawak hambar untuk menganyam cerita epik menerusi wataknya.
1. Nightcrawler (2014)
Tiada filem lakonan Jake Gyllenhaal yang lebih baik daripada filem seram neo-noir ini. Dia memainkan watak sebagai jurugambar sambilan yang merakam aksi ganas dan kemalangan ngeri sebelum menjualnya kepada stesen berita TV tempatan. Sanggup menurunkan berat badan yang banyak demi menampilkan karakter yang lebih menakutkan, anda pasti tidak akan melupakan mutu persembahannya dalam filem ini.
Baca: 5 Filem Terbaik Ashton Kutcher Menurut Rotten Tomatoes