Meskipun, di era media sosial yang berkembang pesat ini, kita dibanjiri dengan wajah baharu dałam industri hiburan, Kehadiran kembali selebriti-selebriti yang telah lama menghilang dari industri hiburan selalu dinantikan dengan penuh keterujaan.
Dengan peningkatan bilangan pengikut di platform sosial seperti Instagram dan TikTok, pelakon dan juga penyanyi baharu menghiasi industri hiburan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, tidak semua selebriti menikmati perhatian dan gaya hidup “glamour” yang sering mengiringi status mereka. Kehidupan selebriti yang terkadang penuh tekanan dan perhatian ramai yang terus-menerus seringkali menjadi penyebab mengapa beberapa selebriti memilih untuk menghilang tanpa khabar berita dan memilih untuk menyepi dari dunia hiburan.
Meskipun mereka telah mengambil langkah menjauh dari industri hiburan, bakat yang luar biasa yang dimiliki oleh mereka dalam seni lakonan dan nyanyian tetap menjadi daya tarik yang mengikat hati penonton. Ini membuktikan bahawa bakat sejati akan selalu bersinar, walaupun terkadang tersembunyi sejenak, dan ketika mereka kembali, mereka membawa keterujaan yang ditunggu-tunggu dalam industri hiburan Malaysia.
5 Selebriti Malaysia Yang Telah Menyepi Dari Dunia Hiburan:
1. Juliana Banos
Datin Juliana binti Azman Banos, atau lebih dikenali sebagai Juliana Banos, ialah penyanyi, pelakon dan model yang terkenal suatu ketika dulu. Memiliki darah campuran Melayu, Perancis dan Sepanyol, dia dilahirkan pada 26 Mac 1979, di Jerantut, Pahang. Dia pernah menghiasi layar perak dalam filem terkenal seperti Gila-Gila Pengantin dan Gerak Khas The Movie 2.
Juliana, yang pernah mempamerkan bakat vokalnya di bawah syarikat rakaman KRU, telah mengumpulkan himpunan lagu yang digemari, termasuk “sayang” dan “tiap detik.” Difahamkan pada masa ini, dia sedang menjalani kehidupan yang lebih tertutup, menumpukan masanya untuk tiga anaknya dan menguruskan perniagaannya bersama suami.
2. Anita Sarawak
Penyanyi legenda, Anita Sarawak atau lebih mesra dengan panggilan Kak Nita merupakan anak kepada arwah seniwati dan seniman, Datuk S Roomai Noor dan Allahyarham Siput Sarawak. Dia memulakan kerjaya nyanyiannya pada usia muda lima belas tahun, dan membuat keputusan berani untuk menerokai Amerika Syarikat pada tahun 1985.
Selepas hampir dua dekad di luar negara, Anita memilih untuk kembali ke Singapura dan bertapak di Kuala Lumpur. Pada tahun 2012, Anita Sarawak berundur daripada pandangan umum dan peminat setianya apabila dia berpindah kembali ke Amerika Syarikat. Kini sudah lebih sepuluh tahun penyanyi kelahiran Singapura ini menghilangkan diri, memilih kehidupan yang lebih sederhana jauh daripada glamor industri hiburan.
3. Baizura Kahar
Baizura Kahar merupakan seorang pelakon yang meraih kejayaan tempoh singkat dalam bidang lakonan. Memulakan kerjaya awal sebagai pelakon iklan, kemudian model majalah, dan akhirnya dilamar pengarah Kabir Bhatia ke bidang lakonan.Dia diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak gadis yang mempunyai masalah psikologi setelah kematian teman lelaki dalam filem Sepi sekaligus menewaskan nama-nama besar seperti Erra Fazira, Maya Karin dan Vanidah Imran di Anugerah Skrin 2008.
Namun pada tahun yang sama, dia telah mengumumkan persaraan daripada bidang lakonan. Sumbangannya yang ringkas tetapi memberi impak kepada industri dari 2006 hingga 2008, tidak dapat dinafikan dia memikat peminat filem dengan mempamerkan bakatnya yang luar biasa.
4. Annahita Bakavoli
Sudah lama tidak mendengar berita mengenai pelakon dan model jelita, Annahita Bakavoli selepas dia menyepi dari dunia hiburan. Mempunyai darah campuran Melayu dan Parsi, serta lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari UiTM, Annahita telah berkahwin pada 10 Julai 2010, dengan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Datuk Saiful Baha Mohd. Arshad tetapi telah bercerai pada 1 Oktober 2015.
Setelah hampir 2 tahun penceraian dia embuât keputusan untuk mendirikan rumahtangga bersama jejaka yang dikenalinya sejak kecil. Menerusi Instagram milik kakak kepada bekas juara Dewi Remaja 2002 itu dia berkongsi gambar, Annahita yang melangsungkan perkahwinannya bersama seorang jejaka di Brisbane, Australia.
5. Julia Hana
Julia Hana Kamarudin, atau seperti yang dikenali ramai, Julia Hana, merupakan seorang penyanyi dan pelakon. Dia memulakan kerjayanya dengan penampilan sulungnya dalam filem terkenal, “Black Maria”, dan telah mendapat perhatian ramai pengarah kerana kebolehan berlakon yang dimilikinya.
Lakonannya dalam filem Sembilu benar-benar memberi impak yang berkekalan meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan di hati penonton. Malangnya, kehadiran Julia di platform sosial popular, Instagram, tidak lagi aktif. Dia membuat pautan terakhirnya pada tahun 2020, dan sejak itu, dia memilih untuk meninggalkan industri hiburan.
Artikel Berkaitan: 7 Selebriti Malaysia Yang Lahir Di Luar Negara