Nanti dulu! Jangan terlalu cepat membuat keputusan kerana anda boleh mengambil tindakan undang-undang untuk melindungi diri dan hak anda dari gangguan pihak ketiga yang merosakkan rumah tangga anda.
Sesungguhnya isu ini bukanlah sesuatu isu yang baru, gangguan pihak ketiga sering dikaitkan dengan masalah yang timbul antara suami dan isteri. Terdapat banyak kes setiap tahun di mana rumah tangga tidak dapat diselamatkan oleh kerana campur tangan pihak ketiga.
Anda boleh memfailkan aduan jika mendapati diri anda mengalami gangguan daripada pihak ketiga. Oleh itu, EH! akan kongsi lima langkah yang boleh anda ambil sekiranya anda sedang mengalami gangguan pihak ketiga dalam rumahtangga anda.
1. Membuat Aduan
Membuat aduan kepada pihak berkuasa pastinya memerlukan keberanian dan persediaan untuk diri anda, tetapi ia juga merupakan langkah penting dalam melindungi diri dan hak anda sebagai isteri atau suami. Tidak kiralah gangguan tersebut datang dari orang luar atau keluarga anda sendiri, anda mempunyai hak untuk memfailkan aduan mengenai gangguan tersebut di Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jabatan Agama Islam di negeri anda.
2. Menjelaskan Bentuk Gangguan
Anda perlu menjelaskan bentuk gangguan atau hubungan pasangan anda dengan orang tersebut. Ini termasuk memberikan butir-butiran khusus mengenai hubungan mereka, adakah ia melibatkan pasangan anda berlaku curang atau bentuk interaksi lain yang boleh merosakkan rumahtangga anda. Perincian ini adalah penting untuk memastikan bahawa pihak berkuasa boleh memahami dengan jelas isu yang dihadapi dalam rumah tangga anda dan memberikan penilaian terhadap kes tersebut.
3. Mengemukakan Bukti Yang Kukuh
Langkah paling penting adalah, anda mestilah mengemukakan bukti yang kukuh, tidak kira ia dalam bentuk dokumen atau saksi. Dokumen yang berkaitan boleh merangkumi pesanan mesej atau bukti lain yang dapat menyokong dakwaan anda. Saksi yang boleh memberikan keterangan mengenai hubungan pasangan dengan orang ketiga atau tingkah laku yang merosakkan juga boleh memainkan peranan penting. Bukti-bukti ini seperti ini dapat memberikan sokongan kuat untuk menangani isu tersebut dan membolehkan pihak berkuasa membuat keputusan yang berasaskan fakta.
4. Aduan Akan Disiasat
Pastikan segala infomasi yang anda berikan adalah benar kerana aduan yang dibuat akan disiasat secara terperinci terlebih dahulu dan jika terdapat bukti kes akan didakwa di Mahkamah Syariah. Ini adalah langkah undang-undang yang bertujuan untuk menjaga kestabilan dan keharmonian dalam rumahtangga, dengan memberikan perlindungan kepada mangsa gangguan rumahtangga.
5. Dikenakan Hukuman
Langkah yang Terakhir adalah, hukuman yang akan diterima mereka, ia mungkin termasuk denda atau hukuman penjara, bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah. Tindakan undang-undang ini diambil untuk memberikan keadilan kepada mangsa dan sebagai kesedaran kepada orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam gangguan rumahtangga orang lain.
Artikel Berkaitan: 5 Petanda Pasangan Curang Di Belakang Anda