Bagi Longchamp, Le Roseau bukan sekadar beg tangan semata, ia adalah simbol kebebasan diri, ia sebuah definisi inovasi diri yang beterusan yang menemani dan menyempurna wanita Longchamp seluruh dunia.
Bulan lalu sewaktu berlangsungnya Malam Ulang Tahun EH! Ke-25, beberapa selebriti ternama hadir ke acara ini dengan meninjit tas tangan Le Roseau. Dan ramai juga yang bertanyakan tentang tas tangan ikonik Longchamp ini bila kami memuat naik foto dan video gaya selebriti yang hadir meraikan EH!25 di media sosial.
Dari situ memang betullah tas tangan ini punya tarikan yang tersendiri, sering saja diberikan inovasi baharu pada rekaan, perincian mahupun pemilihan materialnya, beg tangan bergancu bentuk buluh yang menjadi identiti tas tangan ini memang cukup ikonik.
Tas tangan ini sememangnya menjadi kegemaran ramai wajah ternama termasuklah aktres Hollywood, Zoe Saldana, bintang Britain, Suki Waterhouse dan semestinya wajah global Longchamp sendiri Kim Se-Jeong.
Mula diperkenalkan pada tahun 1993, Le Roseau terus diraikan penggayanya, dari musim ke musim,dari tahun ke tahun, rekaannya terus berinovasi menuruti arus gaya semasa. Dan untuk musim panas 2025, Longchamp mahu meraikan Le Roseau dalam nuansa yang lebih natural dan bersahaja, jenama dari Paris ini mahu Le Roseau ‘live green’.
Apa yang dimaksudkan oleh Longchamp dengan ‘live green’? Mereka mahu sesiapa yang menggayakan tas tangan ini bebas, merai kehidupan dan berasa gembira bagaikan sedang berlibur di luar kota.
CETAKAN & RONA BAHARU
Musim panas pastinya sebati dengan gaya yang lebih bersahaja, ringan dan meriah dengan simbahan warna. Dan itulah juga yang mahu diterapkan pada Le Roseau. Musim ini saiznya juga dipelbagaikan, malah datang dalam size yang lebih besar, beg tot bersaiz XL. Rasanya inilah tas tangan yang cukup ideal buat kembara, malah untuk anda yang sering sibuk dengan urusan kerja ke sana ke mari, tidak salah andai dijadikan beg basahan sehari-hari. Tas tangan Le Roseau saiz yang lebih kecil terus diraikan, disilang pada tubuh untuk gaya yang lebih bebas, gaya kembara yang lebih ringan.
Selain diabadikan dalam warna malar segar, Le Roseau musim panas 2025 turut dihadirkan dalam warna dan corak yang lebih menggoda rasa. Paling menyerlah musim ini ialah Le Roseau dalam corak genggang (gingham) yang cukup menonjolkan imej kedesaan yang klasik.
Lagi satu yang menangkap mata ialah Le Roseau dalam material denim, yang mana bagi saya ia cukup versatil dan ‘muda’. Menonjolkan sulaman corak bunga, tas tangan versi ini tampak segar gayanya. Gaya klasik dengan penggunaan material kulit masih ada dan kali ini muncul dalam ton halia, bark dan beetroot.
Apa lagi yang menarik tentang Le Roseau musim ini? Warna ‘buluh’ yang menjadi perincian ikoniknya turtu divariasikan dengan opsyen warna emas pucat.
KEMPEN MUSIM PANAS 2025 LONGCHAMP
‘Live Green’ menjadi arah tuju serta mesej yang ingin disampaikan oleh Longchamp menerusi kempen musim panas tahun 2025. Longchamp mahu menerapkan gaya hidup yang lebih bebas, ceria dan bersahaja, dan mesej ini ditonjolkan menerusi video dan foto yang disempurnakan oleh jurugambar tersohor Amerika, Theo Wenner.
Rakaman kempen dilangsungkan di kawasan kedesaan, menonjolkan visual sekumpulan wanita yang asyik menikmati kebebasa, bergembira serta bermesar dengan alam, asyik dengan simbahan cahaya mentari. Momen-momen yang dirakam untuk kempen ini juga nampak lebih menyeronokan dengan iringan lagu ‘This Is The Day’, dendangan kumpulan muzik Britain, The The yang dilancarkan pada tahun 1983.
“Saya sudah lama mengagumi hasil kerja Theo Wenner. Dia punya kemampuan mengabadikan imej yang nampak asli dan mesra yang semula jadi,” kata Sophie Delafontaine, pengarah kreatif Longchamp.
Koleksi terbaru Le Roseau sudah pun mula berada di pasaran, dan kalian boleh lihat dan beli di pautan INI.