Milan Fashion Week 2025 menampilkan pelbagai peragaan yang memukau, menggabungkan kreativiti dan inovasi dalam dunia fesyen.
Milan Fashion Week 2025 sekali lagi menjadi pentas utama bagi jenama-jenama fesyen terkemuka dunia untuk mempersembahkan koleksi terbaharu mereka. Acara ini bukan sekadar peragaan biasa, acara ini merupakan simbol kreativiti, inovasi, dan ekspresi seni yang menggabungkan warisan klasik dengan trend moden.
Tahun ini, para pereka fesyen tampil dengan rekaan yang berani, menggambarkan evolusi gaya dan budaya yang semakin dinamik. Setiap koleksi membawa identiti tersendiri yang mencerminkan visi jenama masing-masing. EH! sajikan tujuh peragaan terbaik yang mencuri perhatian di Milan Fashion Week 2025.
DSQUARED 2
Untuk ulang tahun ke-30 Disquared 2, pereka duo ini menyajikan sesuatu yang lebih daripada sekadar pertunjukan, tetapi satu pengalaman yang mendalam. Bertempat di hadapan DSquared Bros Co., mereka membawa kejutan besar di mana ada kereta yang menurunkan beberapa supermodel paling ikonik masa kini. Naomi, Irina, dan Amelia melangkah keluar ke runway hitam-putih yang menggambarkan perjalanan sejarah jenama ini.
Membuktikan keupayaan mereka merangkul pelbagai era, pertunjukan ini penuh ekstravaganza, dari topi koboi hingga bulu mewah. Kulit membawa sentuhan rock dengan rujukan Tom of Finland, sementara studs, denim rhinestone, dan bohemian kembali menyerlah. Kolaborasi dengan Vaquera menambah drama, manakala gaun manik dan tuksedo klasik kekal ikonik.
MOSCHINO
Moschino FW25 meraikan kehebatan kraf dan permainan fesyen dengan mendekonstruksi pakaian kerja serta membayangkan semula siluet korporat.
Pengarah Kreatif Adrian Appiolaza mengambil inspirasi daripada Mannequin Dress Franco Moschino (1992), menafsir semula butiran asal dengan material dan corak moden. Siluet oversized dan asimetris berkembang di runway, diperkaya dengan corak floral, draping longgar, denim distressed, dan kulit berpoket besar.
VERSACE
Versace musim ini menyuntik sensualiti dengan ketelitian, menggabungkan geometri tajam dan cetakan ikonik dalam gaya segar namun tetap autentik. Berlatarbelakangkan stesen kereta api lama, landasan menonjolkan potongan tailoring penuh keyakinan, sulaman mutiara logam yang rumit, dan bahu berstruktur berani.
Selendang, elemen klasik Versace, ditafsir semula dalam cetakan meliputi tali leher hingga lapisan kot. Siluet terstruktur—blazer berlapel tajam, bentuk segi tiga dramatik, dan pinggang terikat rapi—berkontras dengan hemline pendek yang menegaskan sensualiti. Palet warna pula mengekalkan akar glamor Versace, dengan asas gelap yang diserlahkan kilauan logam dan warna lembut.
AVAVAV
AVAVAV terus mencerminkan absurditi fesyen dengan FW25, mengekalkan falsafah provokatif Beate Karlsson. Model berwajah zombie sebagai perintis dekonstruksi fesyen. Bolero renda hitam berubah menjadi tudung berkabung, dipadankan dengan solekan kusam bak bangkit dari kubur.
Kolaborasi Adidas menampilkan tracksuit oversized, hoodie, dan selipar bertumit, sementara skirt distressed dan T-shirt besar menambah aura separuh mati. Crop top bercetak tuksedo membawa semula kitsch 2000-an, manakala tailoring wanita diberi nafas baru dengan jaket hourglass dan skirt beropol era 1950-an.
DIESEL
Diesel FW25 di bawah Glenn Martens mengangkat kod jalanan dengan tekstur eksperimental dan pemberontakan sartorial. Seperti sebelumnya, para model tampil berani dengan kanta lekap khas, menambahkan lagi intensiti dan daya tarikan di runway.
Jaket bouclé, houndstooth, dan neoprena tanpa kolar tampil dalam siluet peplum panjang dan lurus, sementara denim dan kulit dibentuk dalam struktur 3D seakan beku. Ruffles neon menghidupkan palet kelabu, diserlahkan dengan kesan plastik berkilauan.
PRADA
rada bereksperimen dengan bentuk baharu, memainkan kontras antara estetika kasar dan sentuhan sofistikated. Look pertama di landasan jenama ini di Minggu Fesyen Milan mencetuskan refleksi terhadap busana, mempersoalkan bentuk dan pembinaannya.
Pertunjukan dibuka dengan empat gaun hitam paras lutut. Gaun pertama menampilkan butang besar, manakala yang kedua mempunyai kolar lebar dan memberi bayangan inspirasi dari era 1960-an. Namun, kesemuanya berkonsepkan minimalis dengan kelim yang dibiarkan terlihat dan tidak sempurna. Proporsi yang diubah memberikan dinamika baharu pada pakaian serta hubungannya dengan tubuh. Selain itu, material yang digunakan juga bersifat tidak konvensional.
GIORGIO ARMANI
Pada hari terakhir Milan Fashion Week, Giorgio Armani menghadirkan koleksi yang mencerminkan ketelitian Itali dan keindahan kesederhanaan. Dalam suasana intim di Armani Teatro, koleksi ini menggabungkan potongan ringkas dengan garis lembut, membaluti tubuh dalam baldu, kasmir, sutera, dan rajutan.
GiorgioArmani men eroka warna bumi dan mineral—emas pasir, coklat gelap, biru kuarza, dan kelabu lembut dengan sentuhan sulaman labuci dan fabrik bertekstur. Sut berstruktur mengekalkan identiti jenama, dilengkapkan dengan aksesori minimalis, kasut berhias kristal, dan topi yang memperkuat aura ketenangan.