Tas Tangan bukan sekadar aksesori untuk mengisi barang malah ia adalah penyempurna gaya yang membuatkan penampilan busana lebih menyerlah Syawal ini.
Sudah beli baju Raya? Rasanya rata-rata sudah membuat persiapan awal, sebab itulah juga banyak baju raya dari jenama popular sold-out. Saya sendiri punya teman-teman yang sedih hati dek baju pilihan pertama mereka sudah habis dibeli.
Tapi baju raya, baju rayalah kan. Bagaimana pula dengan tas tangan atau aksesori peneman lain. Bagi saya yang penting bila bergaya adalah soal penataan gaya atau styling. Kita kena bijak menghidupkan gaya dengan idea suai padan. Tak kisahlah beg tangan, selendang, rantai, kasut atau pilihan skarf.
Jika mahu berpenampilan lebih mewah, koleksi tas tangan Dior antara yang banyak hadir dalam gaya yang malar segar dan versatil. Ia bukan sekadar tas tangan biasa, malah nilainya dianggap sebagai satu pelaburan kerana ia boleh digayakan dalam apa jua persalinan jika bijak menyuai padan.

Antara yang ikonik semestinya Lady Dior. Bagi saya ia antara salah satu tas tangan yang membawa imej elegan. Tas tangan ikonik kegemaran Puteri Diana ini terus diraikan, reka bentuk yang elegan menjadikan tas tangan ini sangat versatil, boleh dipadan bersama gaya moden dan juga tradisional. Nampak anggun menjadi peneman busana Raya anda tahun ini. Motif cannage cukup ikonik bersama charm D.I.O.R.
Andai mahu penampilan yang lebih manis dan elegan, Lady D-Joy pilihan tepat. Saiznya yang lebih kecil, lebar, dan tampil pula dalam pilihan warna yang lebih variasi, ini antara tas tangan yang dicari-cari Aidilfitri ini.
Untuk penampilan yang lebih ‘muda’, dan sedikit edgy, Dior Streetchic Bag dan Dior Saddle Bag menjadi saranan. Rekaan Saddle yang edgy, diperkenal dari era John Galliano kembali rancak menjadi pilihan penggemar tas tangan Dior. Penampilan busana tradisional atau kontemporari Aidilfitri ini cukup menyerlah dengan gandingan tas tangan ikonik.
