Erika Carlina, pelakon dari negara seberang Indonesia ini merupakan pelakon popular setanding Davina Karamoy.
Siapa sangka, di sebalik wajah berseri ibu mengandung ini, tersimpan deretan lakonan penuh aksi dan karakter berani dari Erika Carlina.
Dari model, influencer, kini bergelar pelakon serba boleh, Erika dikenali sebagai figura pelakon yang tidak takut mencabar diri, termasuk dalam dunia lakonan yang memerlukan keberanian dan emosi mendalam.
Walaupun kini sedang melalui fasa baru dalam hidup sebagai bakal ibu (mengandung anak luar nikah), ramai peminat masih teringat akan watak-watak yang pernah dibawanya di layar.
EH! imbas semula 5 filem paling popular lakonan Erika Carlina, daripada watak penuh aksi, dramatik hingga yang menggoda!
1. Pengantin Setan
Dalam filem seram Pengantin Setan, Erika Carlina membawakan watak Echa, seorang wanita muda yang pada awalnya kelihatan biasa, namun hidupnya berubah selepas berpindah ke sebuah kampung bersama tunangnya. Tanpa disedari, Echa terjerat dalam misteri lama yang menghantui kawasan tersebut, kisah tentang perjanjian ghaib dan pengantin untuk roh jahat.
2. Sosok Ketiga
Filem seram psikologi Sosok Ketiga, mengisahkan seorang isteri muda yang kelihatan sempurna di luar, tetapi menyimpan banyak persoalan dalam hati. Baru berkahwin dengan suami duda, hidup Nuri mula berubah apabila dia merasakan sesuatu yang “lain” sedang menghantui rumah tangganya.
Nuri bukan sekadar berdepan dengan bayang-bayang masa lalu suaminya, tetapi juga gangguan misteri yang semakin kuat — seolah-olah ada ‘sosok ketiga’ dalam perkahwinan mereka. Siapakah sosok itu? Bekas isteri? Jin? Atau cuma ilusi perasaan?
3. Pabrik Gula
Filem seram Pabrik Gula, Erika Carlina memegang watak Naning, seorang gadis muda yang kelihatan naif dan polos, tetapi menyimpan rahsia masa lalu yang kelam. Berlatar belakangkan sebuah kilang gula lama yang penuh sejarah hitam, filem ini menggabungkan elemen mistik dengan trauma peribadi yang mengganggu jiwa.
Watak Naning menjadi pusat kepada misteri kilang tersebut. Di sebalik wajah tenangnya, tersimpan dendam dan peristiwa berdarah yang lama terpendam. Satu demi satu kejadian pelik, dan seram mula berlaku. Adakah Naning mangsa… atau sebenarnya punca segala yang berlaku?
4. Sleep Call
Filem thriller psikologi Sleep Call, Via, seorang wanita yang tampak biasa tapi sebenarnya sedang bergelut dengan kesunyian, tekanan hidup dan rasa tidak dihargai. Dalam usaha mencari pengubat jiwa, Via terjebak dalam dunia panggilan suara misteri, tempat dia bertemu dengan sosok lelaki asing yang kononnya memahami dirinya.
Namun, yang bermula sebagai keintiman lewat telefon berubah menjadi mimpi ngeri. Via mula dihantui rasa curiga dan gangguan yang semakin menyesakkan, membuatkan penonton tertanya-tanya, adakah semuanya hanya mainan fikiran, atau Via sedang diperangkap oleh seseorang yang jauh lebih berbahaya?
5. Rumah Kaliurang
Kinan, seorang wanita muda yang berani dan ingin tahu, yang secara tidak sengaja terlibat dalam misteri rumah tinggal yang terkenal berhantu di kawasan Kaliurang. Apa yang sepatutnya menjadi perjalanan biasa bertukar menjadi pengalaman penuh seram apabila Kinan dan rakan-rakannya mula diganggu oleh kejadian-kejadian pelik dan roh-roh yang tidak diundang.
Kinan menjadi karakter kunci — antara ingin menyelesaikan teka-teki yang menghantui rumah itu dan menyelamatkan diri daripada ancaman yang makin nyata. Dia tidak hanya berdepan dengan gangguan fizikal, tetapi juga trauma dan bisikan halus yang mencabar kewarasannya.
Erika membawa watak Kinan dengan gabungan keberanian dan ketakutan yang realistik — menjadikan penonton sama-sama rasa sesak dan panik ketika cerita semakin memuncak. Rumah Kaliurang menampilkan seram yang klasik tapi tetap mencengkam, dengan watak Kinan sebagai nadi utama dalam membongkar kisah lama yang tidak pernah tenang.