Di ruang digital yang sentiasa dipenuhi trend baharu, nama Qasrina muncul sebagai antara wajah Gen Z yang paling mencuri perhatian EH!
Dia bukan sekadar pempengaruh fesyen dan kecantikan, tetapi juga seorang usahawan muda membina legasi kecantikan tersendiri, label Qasmétics yang semakin dikenali.
Apa yang membuatkan Qasrina berbeza? Setiap kali membuka laman sosialnya, pengikut disajikan dengan aliran idea segar, daripada foto suntingan penuh karakter, gaya terkini, sehinggalah inspirasi kecantikan yang dekat dengan realiti generasi muda hari ini.
Mesra, mudah didekati dan sentiasa hadir dengan aura positif, Qasrina membuktikan bahawa dunia digital bukan hanya tentang gambar cantik semata-mata, tetapi juga ruang untuk berkongsi pengalaman dan membina komuniti.
Apa yang paling Qasrina suka tentang menjadi seorang pencipta kandungan?
Dapat berkongsi minat dalam gaya hidup dan kecantikan dengan orang ramai. Lebih bermakna apabila apa yang saya kongsikan memberi kesan baik kepada orang lain, rasa seolah-olah kita semua sedang berkumpul, bertukar tip dan pengalaman bersama.
Apakah cabaran utama yang Qasrina hadapi sebagai pencipta kandungan?
Cabaran paling besar bagi saya ialah mencari cara untuk menghasilkan kandungan yang berbeza daripada yang lain. Ikut trend memang mudah, tetapi untuk benar-benar menonjol dan kekal segar, ia perlukan lebih banyak usaha dan pemikiran.
Kongsi tiga aplikasi kegemaran di telefon?
Susah nak pilih tiga, sebab saya ada empat aplikasi yang wajib ada di telefon!
- CapCut – Untuk menyunting semua kandungan saya.
- TikTok – Sumber inspirasi dan trend tanpa henti.
- Instagram – Platform utama saya untuk berkongsi.
- ChatGPT – Membantu saya brainstorm idea dan tulis kapsyen! Hahaha
Siapa pencipta kandungan kegemaran Qasrina dan kenapa?
Sebenarnya saya tidak mempunyai seorang pencipta kandungan khusus yang saya, obses! Namun, jika saya menyukai kandungan seseorang, saya akan menontonnya berulang kali. Bagi saya, semuanya bergantung pada vibe, sama ada ia sesuai dengan mood saya ketika itu atau tidak.
Bagaimana Qasrina kekal mendapat inspirasi?
Selalunya saya dapat inspirasi dengan scroll media sosial dan tengok apa yang tengah trending. Tapi inspirasi juga datang daripada kehidupan harian contoh, apa yang saya buat, tempat yang saya pergi atau perbualan dengan orang sekeliling. Kadang-kadang, benda kecil pun boleh cetuskan idea besar!
Mana lebih susah, mencari muzik yang sesuai atau menulis kapsyen?
Mencari muzik yang sesuai lebih susah berbanding kapsyen! Lagu yang tepat boleh ubah keseluruhan vibe sesuatu video. Saya nak orang dengar dan rasa, “Eh, kenapa aku tak terfikir guna lagu ni?!”
Apa yang Qasrina rindukan tentang zaman sekolah/kolej?
Sekolah bagi saya okay sahaja, tapi jujurnya saya lebih sukakan suasana yang saya ada sekarang. Dulu masa sekolah kita masih kanak-kanak, tapi sekarang hidup rasa lebih menyeronokkan dan bermakna dengan orang sekeliling saya.
Adakah Qasrina masih berhubung dengan kawan-kawan sekolah?
Ya, masih! Saya masih ikuti mereka di media sosial, jadi senang nak kekal berhubung. Kadang-kadang saya tegur atau balas story mereka, ia cara mudah untuk kekalkan persahabatan walaupun jarang berjumpa.