Siapa sahaja tak kenal Tengku Mer? Pempengaruh fesyen dan gaya hidup ini cukup dikenali melalui kehadirannya di FYP TikTok, dengan content yang tidak pernah klise daripada foto suntingan estetik, trend terkini hingga ke video lawak yang mencuit hati.
Dalam lautan kandungan digital yang sentiasa bergerak laju, Tengku Mer antara wajah segar yang sentiasa membawa definisi baru kepada gaya hidup Gen Z.
Dengan keperibadian yang chill, mesra dan penuh keyakinan tentang apa yang diinginkan, Tengku Mer bijak menyalurkan personalitinya ke dalam setiap karya.
Ikuti temubual #EHsociates bersama Tengku Mer, berkongsi sisi perjalanannya sebagai seorang pencipta kandungan digital yang bukan hanya mahu mengikut trend, tetapi juga mencipta ruang untuk gaya hidup yang lebih jujur, segar dan dekat dengan generasi kini.
Apa yang paling Tengku Mer suka tentang menjadi seorang pencipta kandungan?
Saya suka kebebasan mengekspresikan diri secara kreatif serta berhubung dengan individu yang mempunyai minat sama dalam fesyen dan gaya hidup. Ia memberikan kepuasan yang besar apabila kandungan saya mampu memberi inspirasi, contohnya membantu seseorang menggayakan pakaian dengan cara baharu atau membuat mereka lebih yakin dengan diri sendiri
Apakah cabaran utama yang Tengku Mer hadapi sebagai pencipta kandungan?
Sejujurnya, konsisten sambil mengekalkan idea yang segar adalah cabaran terbesar. Tekanan untuk sentiasa ikut trend memang ada, tetapi pada masa yang sama saya mahu kekal dengan gaya dan suara asli saya sendiri.
Kongsi tiga aplikasi kegemaran di telefon Tengku Mer.
Sudah tentu, Instagram! Ia ‘taman permainan’ saya. TikTok pula tempat saya tunjukkan sisi spontan dan gila-gila saya. Dan CapCut, penyelamat utama bila saya perlu sunting video dengan cepat, terutama ketika on the go.
Siapa pencipta kandungan kegemaran Tengku Mer dan kenapa?
Saya sangat kagum dengan pencipta kandungan yang seimbang antara keaslian dan kreativiti. Contohnya, @soimjen. Dia merupakan tempat rujukan saya dalam bidang ini kerana kandungannya sentiasa tak terjangka dan sangat out of the box.
Bagaimana Tengku Mer kekal mendapat inspirasi?
Inspirasi selalunya datang daripada pemerhatian kehidupan seharian. Kadang-kadang bukan sekadar isu trend di media sosial, tapi dengan melihat cara orang berpakaian di jalanan, melayari Pinterest atau berbual dengan kawan-kawan. Inspirasi ada di mana-mana jika kita peka.
Mana lebih susah: mencari muzik yang sesuai atau menulis kapsyen?
Cari muzik yang sesuai lebih susah. Sebab bila vibe lagu tu kena, semuanya jadi lebih mudah. Kapsyen pula boleh ditulis ringkas dan jujur, tapi muziklah yang sebenarnya menentukan mood keseluruhan sesuatu kandungan.
Apa yang Tengku Mer rindukan tentang zaman sekolah atau kolej?
Saya rindu kesederhanaan hidup ketika tu. Lepak dengan kawan-kawan, risau tentang tugasan berbanding tarikh akhir kempen. Dan semestinya cuti semester yang panjang!
Adakah Tengku Mer masih berhubung dengan kawan-kawan sekolah?
Ya, sudah tentu! Malah ada yang menjadi penyokong paling kuat saya. Bagi saya, mengekalkan hubungan ini penting kerana mereka mengingatkan saya tentang dari mana saya bermula dan membuatkan saya terus berpijak di bumi nyata.