Jangan ambil mudah bahawa influenza A atau “flu” sebagai selesema biasa, hakikatnya ia jauh lebih serius daripada itu.
Di Malaysia, kes jangkitan influenza terutamanya jenis Influenza A terus dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia kerana sifat virus ini yang mudah merebak dan boleh membawa komplikasi teruk, terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Apa itu Influenza A?
Influenza A ialah sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan termasuk hidung, tekak dan paru-paru.
Ia tergolong dalam keluarga virus influenza yang sentiasa bermutasi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan. Jenis ini sering dikaitkan dengan wabak besar dan pernah mencetuskan pandemik global seperti H1N1 pada tahun 2009.
Tidak seperti selesema biasa yang datang perlahan-lahan, jangkitan Influenza A biasanya bermula secara tiba-tiba dengan simptom yang lebih kuat dan cepat merebak. Di negara tropika seperti Malaysia, virus ini boleh menjangkiti sepanjang tahun walaupun peningkatan kes selalunya berlaku sekitar Mei hingga Julai dan November hingga Januari.
Simptom Influenza A yang perlu dikenali
Simptom influenza A sering disalah anggap sebagai selesema biasa, namun ada perbezaan ketara dari segi tahap keparahan. Antara tanda-tanda lazim ialah:
- Demam tinggi secara mendadak
- Batuk kering
- Hidung berair atau tersumbat
- Sakit tekak
- Sakit kepala, sendi dan otot
- Keletihan melampau
- Kadangkala muntah atau cirit-birit terutama pada kanak-kanak
Simptom biasanya muncul dua hingga tiga hari selepas jangkitan dan boleh berlanjutan antara lima hingga tujuh hari. Namun bagi sesetengah pesakit terutama mereka yang mempunyai sistem imun lemah, komplikasi seperti pneumonia boleh berlaku.
Rawatan dan langkah pencegahan
Bagi kebanyakan pesakit, rawatan utama ialah rehat, hidrasi mencukupi dan pengawalan simptom dengan ubat seperti parasetamol untuk menurunkan demam serta melegakan sakit badan.
Namun bagi kes yang disahkan influenza dan berada dalam kumpulan berisiko, doktor boleh menetapkan ubat direkomendasi yang berkesan jika dimulakan dalam tempoh 48 jam pertama selepas simptom muncul.
Langkah pencegahan lain termasuk mencuci tangan dengan kerap, mengamalkan etika batuk dan bersin secara menutup mulut, mengelakkan tempat sesak ketika bergejala, memakai pelitup muka apabila tidak sihat serta mendapatkan rawatan segera jika simptom berlarutan.
Baca: Matcha 101: 7 Fakta Menarik Tentang Serbuk Hijau Ajaib Ini!