Mereka adalah figura yang bukan sahaja menawan di hadapan kamera, tetapi juga kuat, berdikari dan berjaya dalam bidang masing-masing.
Selebriti-selebriti wanita ini dikenali bukan sahaja kerana bakat dan kecantikan, tetapi juga kerana kejayaan dan gaya hidup berdikari yang menginspirasikan ramai wanita moden.
Dalam dunia hiburan yang sering menyorot kisah cinta dan perkahwinan, ada kelompok selebriti wanita berusia 30-an yang memilih untuk terus menikmati kehidupan solo mereka dan tetap bersinar. Bagi mereka, usia bukanlah penentu kejayaan mahupun kebahagiaan.
Tak perlu Mr. Right, selebriti-selebriti wanita single berumur 30-an ini sudah cukup hebat sendiri dan berjaya!

1. Daiyan Trisha (31 tahun)
Dilahirkan di Bangi, Selangor pada 22 Disember 1993, Daiyan Trisha merupakan antara figura seni yang mencerminkan personaliti kuat dan kecerdikan wanita moden. Memulakan kerjaya sekitar tahun 2013, namanya mula dikenali sebagai penyanyi dan penulis lagu sebelum melebarkan sayap ke dunia lakonan. Dan kini, Daiyan berjaya memiliki kediaman keduanya iaitu unit rumah teres dua tingkat pada umur 28 tahun.

2. Azira Shafinaz (34 tahun)
Lahir di Kuala Lumpur pada 26 September 1991, Azira Shafinaz merupakan bukti bahawa wanita boleh menyerlah dalam pelbagai bidang seni. Memulakan langkah pertama dalam dunia hiburan pada tahun 2012, Azira kini dikenali sebagai pelakon dan juga anggota kumpulan pop wanita popular, De Fam. Dengan pesona semula jadi dan disiplin kerja yang tinggi, Azira dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita menerusi filem “Indera” dan “Rain Town” pada malam kemuncak Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61.

3. Mawar Rashid (30 tahun)
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mula mencuri perhatian selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2014/15. Lahir pada 3 April 1995, Mawar Rashid menapakkan langkah pertama sebagai pelakon pada tahun yang sama dan kini menjadi antara wajah paling dikenali di kaca televisyen menerusi pelbagai drama popular seperti Tundukkan Playboy Itu, Suamiku Paling Sweet yang melonjakkan namanya sebagai antara pelakon muda berbakat besar.
Bakat dan usaha gigihnya dalam bidang lakonan diiktiraf apabila beliau memenangi kategori Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 (ABPBH 2018). Tidak hanya bergantung kepada kerjaya lakonan, Mawar turut mengembangkan empayar perniagaannya melalui jenama kecantikan sendiri, MAWAROSE, yang menawarkan rangkaian produk seperti lipmatte, maskara, kanta mata dan pembayang mata.

4. Amelia Henderson (30 tahun)
Dilahirkan pada 20 Oktober 1995 di Klang, Selangor, Amelia Thripura Henderson merupakan antara pelakon dan pengacara yang memiliki latar pendidikan serta karisma mengagumkan. Berdarah campuran Scotland dan India, Amelia mula aktif dalam dunia hiburan seawal usia 10 tahun, dengan penampilan pertamanya dalam siri kanak-kanak dan iklan televisyen. Sejak debut rasminya sekitar tahun 2006, beliau berkembang menjadi antara pelakon wanita yang disegani kerana kepetahan bertutur dalam bahasa Inggeris dan Melayu, serta kebolehannya menghidupkan pelbagai watak dengan penuh keaslian.
Selain kejayaannya di layar kaca, Amelia turut mengasaskan Podcast “Studio Sembang” sebuah platform bual santai yang menampilkan perbincangan mendalam tentang kehidupan, karier dan isu semasa bersama rakan-rakan selebriti serta tokoh inspirasi tempatan. Tidak berhenti di situ, Amelia juga merupakan co-founder kepada Pickle Depot, sebuah ruang kreatif berkonsepkan komuniti yang terletak di Sentul, Kuala Lumpur.

5. Sophia Albarakbah (32 tahun)
Dilahirkan pada 15 Julai 1993, Sophia Albarakbah berasal dari Kuala Lumpur dan berketurunan campuran Arab dan Cina, tentunya memiliki keunikan wajah serta pesona yang membuatkannya cepat dikenali ramai. Beliau memulakan kerjaya dalam dunia seni sekitar tahun 2019, menerusi beberapa drama dan filem tempatan antaranya, Ku Akad Kau Dengan Bismillah, From Saga With Love dan Lelaki Itu.
Dalam tempoh singkat, Sophia berjaya menempatkan diri sebagai antara pelakon yang versatil mampu membawa watak romantik, serius mahupun antagonis dengan penuh berkesan. Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Dietetik dengan Pemakanan dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), salah satu institusi terkemuka dalam bidang sains kesihatan di Malaysia.

6. Sophia Liana (35 tahun)
Lahir pada 6 Oktober 1990, Sophia Liana merupakan penyanyi, penulis lagu dan juga rapper yang berasal dari Ipoh, Perak. Namanya mula melonjak apabila beliau tampil sebagai salah seorang anggota kumpulan pop-hip hop wanita terkenal, De Fam, yang ditubuhkan pada tahun 2015 bersama Cik Manggis dan Azira Shafinaz. Kumpulan ini mula mencuri perhatian dengan lagu debut mereka #Supergirls yang menjadi fenomena sekitar tahun 2015, menampilkan mesej keyakinan dan kekuatan wanita moden.
Selain aktif bersama De Fam, Sophia turut membina identitinya sendiri sebagai rapper dan penyanyi solo. Gaya muziknya yang berani, moden dan penuh tenaga menjadikan beliau antara artis wanita yang menonjol dalam genre hip hop tempatan.

7. Mimi Fly (38 tahun)
Dilahirkan pada 15 Disember 1986 di Petaling Jaya, Mimi Fly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham merupakan antara penyanyi dan pelakon yang memiliki perjalanan seni panjang serta penuh warna. Beliau mula dikenali sekitar tahun 2008 apabila menyertai kumpulan One Nation Emcees, yang terkenal dengan gaya muzik campuran pop dan hip hop. Selepas meninggalkan kumpulan tersebut, Mimi meneruskan kerjaya solo dengan nama pentas Mimi Fly, mempamerkan sisi lebih matang dan versatil dalam bidang nyanyian serta lakonan.
Mimi Fly bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan artis serba boleh, tetapi juga sebagai seorang individu yang menitikberatkan gaya hidup sihat dan keseimbangan minda. Selain aktif dalam bidang seni, Mimi merupakan seorang instruktor yoga bertauliah dengan pensijilan 200 jam (200-hour Certified Yoga Instructor) kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

8. Baby Shima (33 tahun)
Dilahirkan pada 20 September 1992 di Johor Bahru, Baby Shima atau nama penuhnya Nor Ashima Ramli merupakan penyanyi dan personaliti media sosial yang terkenal dengan gaya lantang serta keberanian menampilkan diri secara autentik. Beliau memulakan kerjaya seni pada sekitar tahun 2012, selepas bergelar juara Bintang Idola Berita Harian 2010 anjuran Berita Harian dan sejak itu terus mencipta nama dalam genre muzik dangdut dan pop.
Baby Shima bukan sekadar dikenali di Malaysia, malah turut menembusi pasaran Indonesia dengan populariti yang mengagumkan, sesuatu yang jarang dicapai oleh artis tempatan. Antara pencapaiannya termasuk kejayaan meraih jutaan tontonan di YouTube, persembahan di luar negara dan anugerah muzik serantau iaitu Anugerah Dangdut Indonesia (MNCTV).

9. Shiha Zikir (37 tahun)
Shiha Zikir atau nama sebenarnya Nurshiha binti Mohd Zikir ialah seorang penyanyi, pelakon, penari dan pengacara yang terkenal dengan bakat luar biasa serta keupayaannya menyesuaikan diri dalam pelbagai cabang seni. Dilahirkan pada 2 Disember 1987 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Shiha kini berusia 37 tahun dan dikenali sebagai antara artis wanita paling serba boleh dalam industri hiburan Malaysia.
Shiha mula dikenali menerusi program realiti Mentor (Musim ke-5) pada tahun 2011, di mana beliau menjadi protege kepada Datuk Sharifah Aini. Sejak itu, Shiha mengembangkan kerjaya nyanyiannya dengan mempersembahkan pelbagai genre muzik termasuk pop, tradisional dan dangdut. Antara lagu-lagu popularnya ialah Renjana, AEWO dan Jagakan Dia.
Shiha turut mencipta sejarah apabila merangkul tempat ketiga di D’Acdemy Asia di Indonesia, sekaligus membuktikan kemampuannya menembusi pasaran serantau.

10. Sissy Imann (30 tahun)
Sissy Imann atau nama sebenarnya Sissy Imann binti Mohammad Kamil ialah seorang penyanyi, komposer, penulis lirik, pelakon dan pengacara. Dilahirkan pada 24 Oktober 1995 di Kuala Lumpur, Sissy kini berusia 30 tahun dan merupakan antara artis muda yang dihormati kerana keaslian bakat serta keindahan karya muziknya.
Sissy mula mendapat perhatian selepas video nyanyiannya bermain piano dan menyanyi secara akustik tular di media sosial, kemudian melangkah ke dunia profesional dengan single Mungkin Kamu, diikuti dengan lagu-lagu lain seperti Pesanan Ayahanda, Jatuh dan Sudahlah (Meow!). Selain menyanyi, Sissy juga aktif sebagai pengacara dan pelakon, sering menjadi hos rancangan hiburan dan muzik di televisyen tempatan. Sissy juga seorang pemuzik terlatih mampu bermain piano, gitar dan beberapa alat muzik lain.

11. Nadeera Zaini (32 tahun)
Kekuatan vokalnya yang luar biasa dan kemampuan menyampaikan emosi dengan penuh penghayatan, Nadeera Zaini mencuri hati peminat melalui lagu Bukan Lagi Kita, mencatat tontonan sebanyak 22 juta di Youtube.
Dilahirkan pada 18 September 1993, Nadeera kini berusia 32 tahun dan mula dikenali menerusi penampilannya dalam pelbagai pertandingan nyanyian yang menonjolkan keaslian suaranya dan semangat juang tinggi dalam mengejar impian seni. Selepas menyertai Big Stage 2023, di mana persembahannya yang konsisten dan penuh bertenaga menjadikannya antara peserta paling digemari. Beliau kemudiannya dinobatkan sebagai Naib Juara Big Stage 2023, sekaligus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi profesional.
Sebelum kemunculan di Big Stage, Nadeera sebenarnya sudah lama aktif menyanyi di pelbagai acara dan pernah mencuba nasib dalam beberapa program realiti nyanyian lain, termasuk Mentor dan Vokal Mania.

12. Aina Abdul (32 tahun)
Siapa sahaja tidak kenal beliau. Seorang penyanyi, komposer dan pereka fesyen yang diiktiraf sebagai antara artis paling berpengaruh dan berinovatif dalam industri muzik Malaysia masa kini. Dilahirkan pada 25 Februari 1993 di Johor Bahru, Aina kini berusia 32 tahun dan terkenal dengan vokal luar biasa, kreativiti artistik serta keberaniannya mencipta identiti tersendiri dalam dunia seni.
Aina mula dikenali selepas menyertai Mentor Legend (2014) dan titik perubahan sebenar dalam kerjayanya hadir apabila beliau tampil dengan lagu-lagu ciptaan sendiri seperti Sumpah, Jangan Mati Rasa Itu, Semalam dan Terus Hidup, yang memperlihatkan kedalaman emosi serta keaslian dalam penulisan dan penyampaian. Selain kekuatan vokal dan karya, Aina juga dikenali kerana gaya fesyennya yang avant-garde dan berani. Pada Mac 2022, Aina melakar sejarah peribadi apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital gergasi di Times Square, New York, Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada kempen EQUAL oleh Spotify, satu inisiatif global yang meraikan artis wanita berpengaruh dari seluruh dunia.

13. Daniella Sya (37 tahun)
Our EH! TOP 20 tahun 2023, mencuri perhatian apabila profil kerjaya seninya bermula di Singapura, muncul dalam beberapa kredit televisyen dan filem termasuk Love You You (2011) dan Keong Saik Street (2012). Berusia 37 tahun, Daniella kembali ke Malaysia setelah sedekad mencipta nama di Kota Singa, dan pernah menyatakan beliau menerima tawaran berlakon di Hollywood.

14. Jasmine Suraya Chin (35 tahun)
Berketurunan Cina dan berasal dari Kuching, Sarawak, Jasmine mula meniti nama melalui lakonan dalam drama dan filem seperti Paskal The Movie, J Retribusi, dan The Hotel. Selain aktif dalam lakonan, Jasmine juga dikenali sebagai personaliti TV dan hos rancangan yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, menjadikannya antara figura dwibahasa yang disegani dalam industri. Kini beliau sedang meneruskan pengajian di akademi lakonan, Lee Strasberg Theatre & Film Institute di Los Angeles, tempat pengajian Lady Gaga dan Scarlett Johansson, beauty with brain!

15. Hawa Rizwana (30 tahun)
Kebolehannya berkomunikasi dengan tenang, berkarisma dan sentiasa tampil sopan serta berkeyakinan tinggi, Hawa Rizwana mula dikenali sebagai pembaca berita di TV3 dan kemudiannya mengembangkan kerjaya sebagai hos rancangan seperti Melodi dan Wanita Hari Ini. Mengambil Entrepreneurship Acceleration Programme di Universiti Oxford pada akhir tahun 2024, Hawa membuktikan dirinya juga boleh berlakon, antara kredit lakonanya, Raya Sebagai Isteri, The Cadets dan Yang Tahu Je Tahu .
