Kerjaya sebagai hijab stylist hari ini semakin berkembang dan dianggap sebagai penting dalam ‘glam team’ selebriti berhijab. Dek permintaan semakin tinggi, maka ramai yang semakin rancak menajamkan skil mereka dalam bidang ini.
Bukan sekadar lilit lilit sahaja, tugas sebagai penata gaya hijab sama penting seperti stylist. Jadi, bila ada orang mempertikaikan mengapa perlu membelanjakan wang semata untuk memanggil orang pakaikan tudung, itu maknanya anda menganggap kerja ini mudah. Hakikatnya, tidak senang lebih-lebih lagi untuk selebriti. Kadang-kadang hijab stylist bukan sekadar memakaikan tudung tetapi mereka juga perlu mereka hiasan kepala, menyiapkan perincian pada hijab dan sebagainya.
EH! membariskan 10 hijab stylist yang sering saja sibuk memenuhi permintaan selebriti (susunan mengikut abjad).
Kredit Gambar: EH!, Instagram Selebriti & Penata Gaya Hijab.
Erliyana Amira
Instagram : @erlmyra
Jika anda sukakan gaya tudung Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau stail tudung primadona Malaysia, Erra Fazira di majlis kahwinnya bari-baru ini, anda carilah Erliyana Amira. Dia antara hijab stylist favourite dua selebriti tersohor ini.
Farah Dinana
Instagram: @farahdinana
Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Mira Filzah, Izara Aishah, hanya menyebut beberapa nama yang sering menggunakan khidmat Farah Dinana sebagai penata gaya hijab. Dia juga sering menjadi pilihan EH! untuk penggambaran muka depan dan fesyen kami.
Farhanah Fauzy
Instagram : @fahrahanstyles
Farhana aktif sebagai stylist dan juga hijab stylist. Dia banyak bekerjasama dengan fashion stylist bagi penataan gaya selebriti berhijab. Selain selebriti, Farhanah juga banyak menjadi penata hijab untuk kempen fesyen tempatan.
Fyrose Zainuddin
Instagram : @fyrose.thehijabstylist
Bertugas sebagai pensyarah bukan penghalang untuk Fyrose meneruskan kemahiran dan minatnya sebagai penata gaya hijab. Dia sering menjadi penata gaya hijab bagi kempen fesyen Rizman Ruzaini selain bekerja rapat dengan penyanyi terkenal, Datin Alyah.
Nana Chahh
Instagram: @nanachahh
Selain fokus sebagai penata gaya hijab, Nana juga mahir dalam soal penataan gaya keseluruhan. Nana Chahh selalu saja menjadi penata gaya hijab Hawa Rizwana baik untuk rancangan mingguan Meletop mahupun majlis-majlis lain. Dia juga yang menata gaya hijab Amira Othman sempena majlis perkahwinannya tahun lalu.
Nazlivingastyle
Instagram: @nazlivingastyle
Mesra dipanggil Naz, dia antara penata gaya hijab yang aktif menganjurkan kelas pengayaan hijab. Anak muridnya datang dari plebagai latar belakang, ada yang mahu menimba ilmu kerana mahu menjadi penata gaya hijab dan ada juga personal class, yang lebih fokus kepada penggayaan hijab sendiri. Ernie Zakri dan Shila Amzah dua nama yang meletakkan Naz sebagai pilihan tangga pertama.
Nora Khartika
Instagram: @norakhatikaardi
Di celah-celah kesibukan kerja sepenuh masa, Nora sedayanya memenuhi permintaan selebriti untuk menggunakan khidmatnya. Banyak penyanyi yang senang dengan sentuhan terutamanya penyanyi living legend, Ziana Zain. Baik konsert, persembahan kecil atau event appearance, Ziana Zain setia memilih Nora.
Nura
Instagram: @paleelits
Aina Abdul antara selebriti yang sering menggunakan khidmat Nura. Dari persembahan pentas, majlis anugerah dan video muzik, Nura sering saja berkarya mengikut konsep busana yang digayakan oleh pelantun ‘Terus Hidup’ itu.
Yaya Ibrahem
Instagram: @yayaibrahem
Yaya Ibrahem, graduan fesyen yang memanjangkan ilmu fesyennya menerusi kerjaya sebagai penataan gaya hijab. Tidak membatas minda kreatifnya dengan lilitan hijab biasa, dia memberi kepelbagaian dengan mereka pelbagai gaya tudung dan headpiece. Dia sering menjadi pilihan utama selebriti ternama seperti Yuna, Aina Abdul dan Neelofa.
Yuti
Instagram: @thelikeyuti
Yuti antara penata gaya hijab yang disukai Erra Fazira. Lihat saja kemunculan Erra saban minggu sewaktu duduk di kerusi juri Kilauan Emas, tudungnya sentiasa kelihatan rapi, dan itulah hasil tangan Yuti.




















