Gabungan hijau matcha yang menenangkan dan merah jambu strawberry yang manis mencipta keseimbangan sempurna antara kelembutan dan sentuhan moden.
Dunia landskap fesyen kini semakin cenderung kepada estetika minimal dan berkarakter dimana tahun 2025 menyaksikan kegilaan tema Matcha Strawberry, muncul sebagai tanda (statement) fesyen baharu kepada mereka yang mahukan sesuatu yang segar tanpa terlalu mencuri perhatian.
Dari corak selendang hingga ke pemakaian baju kurung dan kebaya, palet ini mula mendominasi koleksi pereka tempatan dari potongan klasik hingga rekaan kontemporari.
We gotchu! Jom raikan raya 2026 dengan baju kurung dan kebaya tema Matcha Strawberry

Harmika Studio
Menampilkan gaya kebaya klasik moden dengan padanan warna yang lembut, baju kebaya berwarna pink lembut dengan corak kotak halus, dihiasi sulaman bunga di bahagian hadapan dan hujung lengan. Potongan kebaya fit badan, memberi siluet yang kemas dan anggun.
Leher berkolar rendah dengan sulaman beralun menambah sentuhan feminin. Kain hijau pastel bermotif bunga pink dan putih, mencipta kontras yang cantik dan potongan lurus memberi kesan klasik dan sopan.

Lubna
Kebaya bermotif floral menjadi fokus utama, dihiasi kemasan renda halus di sepanjang bukaan hadapan. Di bahagian dalam, inner polos tanpa lengan dengan leher petak mencipta lapisan yang kemas dan minimal. Sentuhan kedut halus menambah dimensi pada rekaan, menjadikan keseluruhan penampilan tampak rapi namun effortless.
Bawahan pareo maxi bercorak kotak melengkapkan set ini dengan elemen klasik yang bersahaja.

Wanzar
Mengangkat siluet Kurung Kedah bercetak dengan nafas baharu yang penuh kelembutan dan kehalusan perincian. Dihasilkan dalam rona Heirloom Rose, rekaan ini menzahirkan perasaan romantik. Bahagian atas direka dengan potongan leher V yang dihiasi lace floral halus, disempurnakan dengan sulaman terperinci di sepanjang garis leher dan badan kurung. Sentuhan reben hiasan di bahagian hadapan menambah elemen feminin yang manis.
Bawahan kurung menampilkan kipas belakang yang memberi ruang pergerakan serta siluet yang anggun ketika melangkah. Diperbuat daripada chiffon mix blended dengan perincian 3D, fabriknya jatuh lembut dan mencipta gerakan yang cantik, menambah dimensi mewah pada keseluruhan rekaan.

Tiqa Co
Diperbuat daripada organza floral yang ringan dan telus, rekaan ini memberi rasa airy seolah-olah kelopak bunga yang bergerak lembut mengikut setiap langkah.
Keistimewaan kebaya ini terletak pada sulaman beralun ikonik Tiqaco di sepanjang garis leher dan bahagian hadapan. Palet warnanya menampilkan gabungan blush pink lembut, petal lilac, dan muted green, mencipta ekspresi romantis yang tenang dan sofistikated.
Pareo yang melengkapkan rekaan ini hadir dalam rona Sage Green, diperbuat daripada satin premium yang licin dan mewah. Rekaan semi instant, bersaiz bebas dengan ukuran 40” (panjang) x 56” (lilitan), menjadikannya praktikal dan mudah digayakan untuk pelbagai bentuk badan.

Camellia Empire
Menampilkan interpretasi moden busana kurung dengan penekanan pada perincian halus dan siluet yang memanjang, mencipta aura anggun yang bersahaja. Diperbuat daripada cotton crinkle tanpa lapisan, dan bahagian atas dihiasi sulaman penuh di kedua-dua sisi hadapan serta di hujung lengan, memberikan sentuhan feminin yang kaya namun tetap minimal.
Keunikan rekaan terserlah pada lengan bubble daripada organza, yang menambah dimensi lembut dan moden pada keseluruhan busana. Manakala skirt dilengkapkan dengan lipatan belakang (pleated back) yang memberi ruang pergerakan serta siluet yang lebih anggun ketika melangkah.

Ashikin Ahmad
Dihasilkan daripada Pure Tencel pada bahagian atas, kebaya ini terasa lembut, sejuk dan mesra kulit, dipadankan dengan kain batik kapas premium yang menambah elemen warisan pada keseluruhan rekaan.
Potongan loose-fit menjadi teras koleksi ini, membentuk siluet yang sopan dan elegan. Perincian sulaman khas (custom embroidery) pada kebaya memberikan sentuhan eksklusif yang halus. Bawahan pula menampilkan potongan lurus dengan overlap di bahagian hadapan, mencipta gaya klasik yang kemas dan mudah digayakan.

Qiszar
Dihasilkan daripada printed organza dan premium chiffon dengan lapisan penuh, busana ini mencipta siluet yang lembut namun berstruktur. Bahagian outer top diperbuat daripada organza bercetak yang dihiasi lace bersulam manik, menambah kilauan halus pada keseluruhan rekaan. Leher V yang memanjang dengan kemasan sulaman memberikan ilusi tubuh yang lebih langsing.
Di bahagian dalam, inner dress direka dengan leher petak (square neckline) yang kemas dan moden, dilengkapi lipatan drape beralun di bahagian hadapan untuk sentuhan elegan yang mengalir indah. Bukaan zip tersembunyi di tengah belakang memastikan kemasan yang rapi dan selesa. Busana ini ditawarkan dalam saiz XS hingga XXL, meraikan kepelbagaian bentuk tubuh wanita.
