Podcast terbaik pilihan EH!, teman setia untuk ilmu dan hiburan di mana sahaja anda berada.
Dalam dunia yang serba pantas hari ini, podcast menjadi medium kegemaran saya untuk “escape” seketika sambil tetap menambah ilmu. Sama ada ketika memandu ke lokasi penggambaran, bersiap untuk acara, bersenam mahupun sebelum tidur, podcast adalah teman setia yang sentiasa ada.
Dengan lambakan pilihan di pelbagai platform, memilih yang benar-benar menarik dan berbaloi untuk didengar memang mencabar. Jadi, ini antara podcast kegemaran saya yang sentiasa ada dalam senarai main, campuran gosip santai, sembang penuh makna dan kisah seram yang bikin merinding!
Podcast Terbaik Pilihan EH!, Teman Setia Untuk Ilmu dan Hiburan Di Mana Sahaja Anda Berada
Dalam dunia yang serba pantas hari ini, podcast menjadi medium kegemaran saya untuk “escape” seketika sambil tetap menambah ilmu. Sama ada ketika memandu ke lokasi penggambaran, bersiap untuk acara, bersenam mahupun sebelum tidur, podcast adalah teman setia yang sentiasa ada. Dengan lambakan pilihan di pelbagai platform, memilih yang benar-benar menarik dan berbaloi untuk didengar memang mencabar. Jadi, ini antara podcast kegemaran saya yang sentiasa ada dalam senarai main — campuran gosip santai, sembang penuh makna dan kisah seram yang bikin merinding!
The Chic Code Podcast
Saya percaya podcast ini memang kegemaran ramai dan saya akui, ia juga antara yang paling kerap saya dengar. Relatable, penuh gosip yang kelakar tetapi tetap ada isi. Topik yang dibincangkan dekat dengan realiti kehidupan wanita moden, daripada isu persahabatan, hubungan cinta, kerjaya sehinggalah kisah sosial semasa.
Apa yang membuatkan saya suka ialah cara penyampaiannya yang santai dan tidak dibuat-buat. Rasa seperti mendengar sembang rakan sendiri, jujur, berani dan menghiburkan. Kadangkala topik yang berat pun terasa ringan kerana gaya penyampaian mereka yang bersahaja.
Anything Goes with Emma Chamberlain

Kalau mahukan sesuatu yang lebih introspektif dan raw, ini pilihan saya. Emma Chamberlain terkenal dengan personaliti yang autentik, dan itu jelas terasa dalam setiap episodnya.
Beliau berbicara tentang kesihatan mental, overthinking, hubungan, dan pengalaman peribadi dengan cara yang sangat jujur. Ada masanya saya rasa seperti sedang mendengar diari peribadinya. Podcast ini sesuai untuk mereka yang suka refleksi diri dan perbualan mendalam tetapi tetap santai.
Malam Seram
Bila mood mahukan sesuatu yang mendebarkan, inilah pilihan utama. Podcast ini menampilkan kisah-kisah seram yang dihantar oleh pendengar sendiri. Penceritaannya sangat hidup, cukup untuk membuatkan bulu roma meremang, lebih-lebih lagi jika didengar pada waktu malam!
Saya suka bagaimana ia menggabungkan elemen budaya dan kisah mistik Nusantara. Ada sesuatu tentang cerita rakyat dan pengalaman seram sebenar yang membuatkan ia terasa lebih dekat dan real.
Studio Sembang
Kalau anda gemar mendengar perbualan santai bersama figura terkenal tanah air, podcast ini memang wajib ada dalam senarai. Dikendalikan oleh Amelia Henderson, Studio Sembang tampil dengan konsep temu bual yang cukup bersahaja tetapi tetap berisi.
Apa yang saya suka, Amelia sering menjemput artis dan personaliti industri kreatif sebagai tetamu daripada pelakon, penyanyi sehinggalah individu di sebalik tabir industri hiburan. Perbualannya terasa jujur dan tidak terlalu formal, seolah-olah kita sedang duduk sekali dalam studio mendengar mereka berbual.
Topiknya juga pelbagai, daripada perjalanan kerjaya, cabaran dalam industri, isu semasa, budaya pop, hinggalah sisi peribadi yang jarang dikongsikan. Setiap episod memberi peluang untuk kita melihat sisi lain selebriti yang mungkin kita tidak pernah tahu.
On Purpose with Jay Shetty
Jika memerlukan motivasi atau sedikit “reset” dalam hidup, podcast ini pilihan terbaik. Dikendalikan oleh Jay Shetty, setiap episod menampilkan perbualan mendalam bersama tokoh inspirasi dunia.
Topik seperti cinta, kerjaya, tujuan hidup dan keseimbangan diri dibincangkan dengan penuh empati dan kebijaksanaan. Ia bukan sekadar motivasi kosong, tetapi perbualan yang benar-benar membuatkan saya berfikir dan menilai semula keutamaan hidup.




