Pagi Syawal sentiasa terasa istimewa. Harum kuih raya, busana sedondon dan senyuman yang terukir sebelum tangan dihulur memohon maaf. Hari Raya adalah hari yang panjang dan sarat dengan emosi, dan dalam setiap momen itu, penampilan perlu kekal cantik terjaga termasuklah maskara.
Bermaaf-maafan selalunya hadir dengan mata yang sedikit berkaca dan pelukan yang lebih erat daripada biasa. Dalam momen penuh emosi itu, tiada siapa mahu kesan hitam di bawah mata ketika sibuk menyantuni tetamu atau merakam OOTD. Tambahan pula dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap, solekan mudah cair jika formulanya tidak benar-benar tahan.
EH! himpunkan tujuh maskara dengan formula waterproof dan anti-smudge khas buat anda di pagi Raya. Ia memastikan bulu mata kekal lentik, hitam pekat dan kemas dari pagi hingga malam supaya anda boleh fokus menikmati suasana beraya tanpa perlu risau tentang solekan cair.
Tujuh Maskara Anti-Smudge Untuk Momen Bermaaf-Maafan Raya;
1. Sephora Collection Big By Definition Waterproof Mascara (RM84)
Versi kalis air kepada maskara kegemaran ramai ini memang sesuai untuk anda yang mahukan bulu mata lebih jelas dan terdefinisi tanpa risau comot. Formulanya tahan lasak, membantu memberi efek lebih penuh dan terpisah cantik walaupun seharian beraya. Berusnya direka untuk melapisi setiap helaian dengan sekata, jadi hasilnya nampak kemas dan tidak menggumpal. Pilihan yang tepat jika anda mahukan maskara yang tahan lama dan tidak perlu kerap touch-up sepanjang rumah terbuka.

2. TARTE Lights, Camera, Splashes™ 4-in-1 Waterproof Mascara (RM120)
Maskara empat dalam satu ini memanjangkan, melentikkan, menebalkan dan pada masa sama merawat bulu mata. Formulanya kalis air dan direka untuk kekal di tempatnya sama ada berdepan cuaca lembap, peluh atau air mata Raya yang sukar ditahan. Diperkaya dengan bahan Skinvigorating™, ia membantu melembutkan dan menjaga bulu mata agar tidak terasa kering.

3. Anastasia Beverly Hills Lash Brag Mascara (RM144)
Sesuai untuk anda yang gemarkan bulu mata penuh dengan volum maksimum, maskara ini memberikan impak dramatik sebaik sahaja disapu. Warna hitam pekatnya menyerlahkan lagi riasan mata. Berus berbentuk hourglass direka untuk menangkap dan melapisi setiap helaian dengan sekata, membantu mencipta efek lebih tebal tanpa menggumpal. Pilihan tepat untuk look Raya yang lebih bold dan memikat.

4. Benefit Cosmetics Badgal Bang Waterproof Mascara (RM152)
Versi kalis air kepada maskara volume ikonik ini hadir dengan formula ringan berteknologi aero-particles yang membantu memberi volum maksimum tanpa membuatkan bulu mata terasa berat. Hasilnya tetap dramatik, tetapi masih selesa dipakai sepanjang hari. Berus slimpact yang tirus memudahkan aplikasi dari akar hingga ke hujung, termasuk sudut dalam dan bulu mata bawah yang selalunya sukar dicapai.

5. LANCÔME Lash Idole Waterproof Mascara (RM160)
Maskara ini direka untuk memberikan efek bulu mata yang terangkat dan terpisah rapi dengan kemasan yang bersih. Formulanya kalis air dan tahan lama, membantu mengelakkan gumpalan atau kesan luntur walaupun dipakai seharian. Sapuan yang ringan sahaja mampu mencipta ilusi mata yang lebih terbuka dan segar. Pilihan ideal untuk solekan Raya yang nampak effortless.

6. MAC Cosmetics Macstack Waterproof Mascara (RM175)
Maskara buildable ini membolehkan anda menambah lapisan demi lapisan untuk mendapatkan volume yang natural hinggalah lebih dramatik. Tahan sehingga 24 jam, ia dilengkapi dengan teknologi Drench-Defense, membantu menolak air dan melindungi setiap helaian bulu mata daripada luntur. Tidak perlu risau tentang kesan comot sepanjang hari Raya.

7. DIOR Diorshow Iconic Overcurl Mascara (RM195)
Maskara ikonik ini diperkaya dengan cornflower floral water yang membantu menjaga dan menguatkan bulu mata dari masa ke masa. Dalam satu sapuan, ia memberikan volume yang jelas serta lentikan yang tahan lama sehingga 24 jam. Warnanya hitam intens dan smudge-proof, menjadikan mata tampak lebih terbuka dan menyerlah tanpa perlu risau luntur. Pilihan sempurna untuk anda yang mahukan sentuhan glam yang elegan sepanjang Hari Raya.
![]()
Artikel Berkaitan: Base Solekan Tahan Lama Untuk Raya, Ini Tip Khir Khalid
