Disebalik lambakan lagu raya saban tahun, cabaran utama setiap penyanyi dan pencipta adalah untuk memastikan pendengar memutar kembali lagu mereka pada lebaran di tahun mendatang. Atau adakah karya mereka hanya mampu menjadi jaguh semusim sahaja?
Hari ini kejayaan satu-satu lagu raya tidak hanya bergantung kepada melodi, lirik, penyanyi sahaja, ia dibantu dengan faktor lain khususnya promosi. Dengan adanya media sosial, populariti satu-satu lagu banyak dipengaruhi penerimaan awal pendengar di media sosial. Adakala umpan mengena, kadang-kadang hanya sia-sia. BOP or FLOP?
JODOH LEBARAN, AISHA RETNO
Lagu ini menjadi satu lagi bukti mengapa Aisha Retno antara pelapis dunia muzik tanah air yang bukan hanya punya masa depan yang cerah malah perjalanan seni yang akan berpanjangan. Selepas kejayaan Ketipak Ketipung Raya, Aisha sekali lagi mencipta fenomena menerusi Jodoh Lebaran. Kekuatan lagu ini selain pada melodi dan mesej liriknya (jika diamati Aisha bukan bercakap soal jodoh secara surface semata), ia juga disempurnakan dengan visual menarik menerusi video muzik dan geratk tarinya. Tahniah Aisha.
SENYUM GUGUR DI PENGHUJUNG DOA, DAYANG NURFAIZAH
Sejujurnya lagu ini menjadi menarik dan berjaya adalah kerana feel yang dibawakan oleh Dayang. Lagu ini adalah satu lagi bukti betapa dahsyatnya penghayatan seorang bernama Dayang Nurfaizah. Boleh kata feel itu yang membuat yang mendengar rasa syahdu dan sayu. Sebab itu ‘humming’ pun dah sedap, Dayang yang membuat orang tertarik untuk mendengar lagu ini.
DENDANG RAYA, MARSHA MILAN
Tahniah buat Marsha yang akhirnya memiliki lagu Raya solo yang cukup menambat telinga yang mendengar. Ritma jazz membuatkan lagu ini kedengaran malar segar dan boleh menjadi satu jaminan ‘jangka hayat’ yang panjang untuk didengar pada Hari raya tahun mendatang.
BERAYA DENGAN SAYA, DATO’ SERI SITI NURHALIZA
Biar pun respon tentang lagu ini bermacam-macam, tapi saya rasa lagu ini menarik. Saya faham bila ada yang kurang suka kerana kawan-kawan saya pun ada yang kurang gemar dengan lagu ini. Dan saya juga faham sangat mengapa Dato Seri Siti Nurhaliza memilih lagu ini, kerana ia berbeza dengan lagu rayanya sebelum ini. Sebagai biduanita negara, pastinya dia mahu beri suntikan yang baharu pada setiap karyanya. Tak apa, jika lagu ini terasa ‘asing’ bagi sesetengah pendengar, Siti Nurhaliza punya banyak lagi lagu yang serasi dengan halwa telinga anda.
BILA LAGI NAK JUMPA, FAIZAL TAHIR & SENARIO
Saya sukakan mesej lagu ini. Ia membawa mesej yang mudah dan relate dengan semua orang. Hari Raya sebenarnya adalah waktu terbaik untuk bertemu kembali sanak saudara dan kawan-kawan. Kalau bukan waktu Raya, bila lagi? Dari segi melodi, Faizal Tahir memang genius mencipta sesuatu yang kedengaran ringkas namun membekas (catchy).
BINCANG RAYA, AMIRA OTHMAN & IRFAN HARIS
Saya ada satu saja masalah dengan lagu ini, saya rasa transisi antara verse dan korus lagu ini tidak smooth. Senang kata, macam tiba-tiba. Tapi saya akui korusnya sangat catchy dan memang berjaya membuat orang teringat dan menggerakkan orang untuk turut serta mengikut trend lagu ini. Buka saja TikTok, banyak guru-guru sekolah memuat naik video menggunakan lagu ini (selain lagu Jodoh Lebaran).
POK PEK RAYA, DEFAM
Benchmark ‘Alamak Raya Lagi’ bagi saya terlalu tinggi, dan memang boleh dijangka kesukaran yang DeFam hadapi untuk melepasi atau paling tidak menyamai kejayaan yang dicapai lagu itu. Menerusi Pok Pek Raya, lagunya masih catchy, masih berjaya membuat orang menyanyi sama, tapi fenomenanya tidak sedahsyat Alamak Raya Lagi. Namun Pok Pek Raya tidak gagal kerana ia masih dalam 10 lagu Raya 2026 yang popular.
DUIT RAYA, SHARUL KAMAL & MIERUL AIMAN
Kali pertama mendengar teaser lagu ini, ia sudah berjaya menangkap perhatian saya (saya percaya orang lain juga). Bahagian korus yang catchy dengan mesej yang mudah dan jelas. Bahagian rap Mierul Aiman adalah untuk memberi vibes kekinian pada lagu ini.
RINDU RAYA, ALPHA
Lagu ini punya potensi untuk didengar berulang kali pada tahun mendatang jika kena promosinya kerana melodi lagu ini memiliki vibes Raya yang tipikal (tapi itu bukan satu kesalahan pun). Ia mengguna pakai resipi lazim yang perlu ada dalam standard lagu Raya. Vokal yang harmoni juga menjadi satu bonus untuk lagu ini.
RAYA BERSERI, LAYLA SANIA & PERRY KUAN
Bersahaja, catchy dan tak terlalu mencuba. Itu yang boleh saya simpulkan tentang lagu ini. Walaupun lagu ini seakan dicipta berpandukan jenama kecantikan yang ditonjolkan dalam video muzik ini, namun ia tidak kedengaran ‘hard sell’. Suasana raya masih terasa, mesej utama tidak overshadow vibes lagu.
