Penyanyi D4vd didakwa atas kesalahan kes bunuh dan jenayah lain terhadap pembunuhan teman wanita, Celeste Rivas Hernandez.
Dunia hiburan antarabangsa digemparkan dengan berita mengejutkan apabila penyanyi muda sensasi, D4vd, atau nama sebenarnya David Burke, secara rasmi didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Celeste Rivas Hernandez.
Mayat ditemui dalam kereta milik D4vd.
Menurut kenyataan daripada Nathan Hochman pada Isnin, mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak tahun 2024.
Kes ini terus menjadi perhatian ramai apabila mayat mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan mereput pada September 2025, hampir satu setengah tahun selepas kehilangan dilaporkan.
Lebih mengejutkan, sisa mayat tersebut ditemui di dalam bahagian hadapan sebuah kenderaan milik D4vd yang diparkir di kawasan Hollywood Hills.
Kenderaan itu telah ditinggalkan selama beberapa minggu sebelum ditunda ke pusat simpanan, selepas pekerja mengesan bau busuk yang mencurigakan.
Untuk rekod, D4vd mula meraih populariti pada tahun 2022 selepas lagu-lagu yang dirakam menggunakan telefon untuk video permainan Fortnite menjadi tular di TikTok.
Lagu hitnya, Romantic Homicide, turut melonjakkan namanya sehingga berjaya menandatangani kontrak bersama Interscope Records.
Kes pembunuhan ini telah menarik perhatian masyarakat di Los Angeles selama berbulan-bulan, dengan pihak berkuasa dilaporkan telah lama memberi tumpuan kepada penyanyi tersebut sebagai suspek utama.
Difahamkan, Celeste Rivas Hernandez kali terakhir dilihat selepas mengunjungi kediaman penyanyi itu dan tidak pernah ditemui hidup sejak itu.
Mayatnya ditemui dalam sebuah kenderaan jenis Tesla yang ditunda pada 8 September, sehari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-15. Mangsa berasal dari Lake Elsinore, kira-kira 120 kilometer dari Los Angeles.

Peguam kepada David Burke sebelum ini menegaskan bahawa mereka akan mempertahankan anak guam mereka habis-habisan, sambil menegaskan beliau tidak bersalah. Namun begitu, pihak pendakwa raya kini telah memfailkan tiga pertuduhan termasuk pembunuhan tahap pertama serta beberapa dakwaan melibatkan perlakuan tidak senonoh terhadap individu bawah umur.
Sekiranya didapati bersalah, D4vd berdepan hukuman berat termasuk penjara seumur hidup tanpa parol atau hukuman mati, satu perkembangan yang pastinya memberi impak besar terhadap karier dan masa depannya dalam industri muzik.
