Ada sesuatu yang sangat menarik tentang filem biopik, genre ini terasa lebih dekat kerana setiap emosi, cabaran dan kejayaan yang dipaparkan datang daripada kisah nyata.
Secara peribadi, filem biopik antara genre yang paling saya gemari kerana setiap naskhah hadir dengan nilai inspirasi tersendiri.
Ada yang membuat kita lebih menghargai usaha keras, ada yang membuka mata tentang tekanan di sebalik populariti dan ada juga yang menyentuh hati apabila melihat bagaimana seseorang bangkit daripada kegagalan.
Saya percaya, sesetengah filem ini membuatkan kita terus mencari kisah sebenar selepas tamat menonton kerana terlalu tertarik dengan perjalanan hidup tokoh tersebut.
Ruang untuk inspirasi dan mencari identiti tokoh, ini adalah 7 filem biopik popular yang wajib masuk watchlist anda.
1. Bohemian Rhapsody
Jika anda peminat filem biopik berlatarkan dunia muzik, Bohemian Rhapsody sememangnya antara pilihan paling popular untuk ditonton. Filem ini mengisahkan perjalanan hidup Freddie Mercury, vokalis legenda kumpulan Queen yang terkenal dengan suara luar biasa dan personaliti ikonik. Penonton dibawa melihat bagaimana Queen mencipta fenomena menerusi lagu-lagu hit pada era 1970-an, konflik yang berlaku apabila Freddie memilih kerjaya solo, sebelum mereka kembali bersatu untuk persembahan bersejarah di Live Aid. Walaupun menerima 60% di Rotten Tomatoes, filem ini tetap digemari ramai kerana elemen nostalgia, emosi dan persembahan hebat Rami Malek sebagai Freddie Mercury.
2. Elvis
Elvis membawa penonton menyelami kehidupan Raja Rock and Roll, Elvis Presley, daripada permulaan kariernya sehingga menjadi antara bintang muzik paling berpengaruh di dunia. Filem ini diceritakan menerusi sudut pandang hubungan rumit antara Elvis dan pengurusnya, Colonel Tom Parker, yang banyak mempengaruhi perjalanan kerjayanya selama lebih dua dekad. Selain menampilkan sisi glamor dan kejayaan luar biasa, filem ini turut memperlihatkan tekanan populariti, perubahan budaya Amerika ketika itu serta hubungan penting dalam hidupnya termasuk Priscilla Presley. Lakonan Austin Butler juga menerima pujian ramai kerana berjaya menghidupkan aura ikonik Elvis di layar perak.
3. Oppenheimer
Jika anda sukakan filem biopik yang lebih serius dan penuh saintis, Oppenheimer ialah pilihan yang sangat berbaloi ditonton. Filem ini mengisahkan J. Robert Oppenheimer, ahli fizik yang dilantik untuk mengetuai Projek Manhattan ketika Perang Dunia Kedua, misi rahsia yang membawa kepada penciptaan bom atom pertama. Penonton dibawa menyaksikan proses penyelidikan selama bertahun-tahun bersama pasukan saintis sehingga tercetusnya letupan nuklear pertama pada 16 Julai 1945, satu detik yang mengubah sejarah dunia.
4. 12 Years a Slave
12 Years a Slave ialah filem biopik yang sangat menyentuh emosi dan sukar dilupakan selepas menonton! Ia mengisahkan Solomon Northup, seorang lelaki kulit hitam bebas dari New York yang diculik lalu dijual sebagai hamba di Selatan Amerika sebelum Perang Saudara. Sepanjang 12 tahun penuh penderitaan, dia berdepan kekejaman, penindasan dan perjuangan untuk terus hidup sambil mempertahankan maruah dirinya. Filem ini bukan sahaja membuka mata tentang realiti sejarah perhambaan, tetapi juga memaparkan kekuatan jiwa manusia dalam menghadapi ketidakadilan. Lakonan hebat Chiwetel Ejiofor menjadikan kisah ini lebih mendalam dan memberi kesan besar kepada penonton.
5. The Blind Side
Kekeluargaan yang menyentuk jiwa. The Blind Side ialah filem biopik yang cukup menyentuh hati tentang peluang kedua dan kuasa kasih sayang dalam mengubah kehidupan seseorang. Ia mengisahkan Michael Oher, seorang remaja gelandangan yang sering tercicir daripada sistem persekolahan sebelum dibantu oleh keluarga Tuohy yang membuka pintu rumah dan hati mereka untuknya. Dengan sokongan keluarga baharu itu, Michael mula menemui potensi sebenar dalam pelajaran serta bakat besar dalam sukan bola sepak Amerika. Filem ini memberi mesej kuat tentang kepercayaan, keluarga dan bagaimana satu tindakan kecil mampu mengubah masa depan seseorang sepenuhnya.
6. Stronger
Ia mengisahkan Jeff Bauman yang kehilangan kedua-dua belah kaki dalam insiden pengeboman Boston Marathon pada 15 April 2013. Selepas sedar di hospital, Jeff membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek, namun cabaran sebenar bermula apabila dia perlu menempuh proses pemulihan fizikal dan emosi yang panjang. Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta teman wanitanya, filem ini memaparkan perjuangan untuk bangkit semula, menerima kehidupan baharu dan mencari kekuatan dalam diri sendiri.
7. Michael
Michael ialah sebuah filem biopik yang mengangkat kisah kehidupan dan legasi Michael Jackson, salah seorang artis paling berpengaruh dalam sejarah muzik dunia. Filem ini membawa penonton menyelami perjalanan beliau bermula daripada bakat luar biasanya ketika bersama Jackson 5, sehinggalah evolusinya menjadi ikon global yang sentiasa mendahului zaman dari segi kreativiti dan persembahan. Selain menonjolkan kejayaan luar pentas, filem ini turut memberi fokus kepada sisi peribadi serta momen penting dalam kerjaya awal solonya yang membentuk identiti “King of Pop”. Ia menjadi satu gambaran sinematik tentang bagaimana seorang anak kecil dengan impian besar akhirnya mengubah industri hiburan selamanya.
Baca: 10 Filem Terbaik Arahan James Wan Menurut Rotten Tomatoes
