Fantasi: Tampan dan seksi bak Brad Pitt
Realiti: Kurang berketrampilan dan selekeh!
Ada sesetengah lelaki yang hanya mahu tampil segak dan tampan pada majlis tertentu sahaja dan bagi si gadis, cuma itu peluang emas untuk melihatnya kelihatan seperti jejaka paling kacak dalam dunia. Jadi, mengapa perlu tunggu? Pertama, ajak si dia menjadi pasangan anda untuk bersenam di gim. Kemudian, hadiahkan kepadanya satu set penjagaan muka dan sepasang baju dan seluar yang membuatkan si dia kelihatan segak bergaya. Tentunya dia memahami niat anda yang benar-benar mahu melihatnya kekal tampan sentiasa.
Fantasi : Berjiwa romantik
Realiti : Keras seperti kayu!
Penulis buku motivasi, Scott Haltzman, MD, pernah menyatakan kesilapan paling besar yang sering dilakukan wanita adalah percaya jiwa romantik hadir secara semulajadi dalam diri setiap lelaki. Namun, hakikatnya mereka perlu diberitahu apa yang wanita inginkan agar impian memiliki pasangan romantik menjadi realiti. Bagaimanapun, anda juga perlu membalas dengan reaksi yang sangat menggembirakan seperti “wow” atau anda mula menitiskan air mata akibat rasa terharu. Ini penting supaya si dia akan terus berasa teruja untuk melakukan lebih banyak tindakan romantik terhadapmu.
Fantasi: Berterus terang dan suka berbincang tentang isi hatinya
Realiti: Ketika si dia murung, dia lebih gemar mendiamkan diri dan tidak mahu menceritakan apa yang berlaku
Kebanyakan lelaki tidak tahu bagaimana untuk menceritakan isi hatinya ketika dia berada dalam masalah. Sebaliknya, mereka bersikap lebih terbuka kala dia tidak berasa tertekan. Jika si dia kelihatan murung, sedih atau apa jua yang dilakukannya serba tidak kena, anda perlu bijak membantunya dengan merancang aktiviti menarik yang boleh dilakukan secara bersama. Antaranya, aktiviti lasak seperti berbasikal, memandu sejauh mungkin mahupun mengajaknya makan malam di sebuah tempat yang romantik. Tentunya dia akan mula berasa selesa untuk diajak berbincang.
Fantasi: Jejaka yang setia terhadap cintanya
Realiti: Kadang kala anda berasa ragu-ragu dengan cara si dia menjawab telefon ataupun dia lebih gemar ‘berada bersama rakan-rakannya’ berbanding anda
Sering mahu berdamping, kerap mengirim SMS untuk bertanya di mana si dia berada dan terlalu kuat cemburu adalah antara sikap wanita yang dibenci lelaki. Oleh itu, cuba kikis sikap itu sebaliknya berikan sedikit ruang untuknya bagi mengelakkan si dia berasa seperti ‘dikongkong’. Bagi menarik lagi perhatiannya terhadapmu, berikan tumpuan dalam apa jua yang diminatinya dan yang penting sekali, anda harus berketrampilan cantik dan kemas agar pasanganmu sentiasa berasa bangga berjalan bersama anda di khalayak ramai!
Fantasi: Pasangan yang suka membuat kejutan menggembirakan dan adventurous
Realiti: Si dia membosankan dan sering membawa anda ke tempat yang sama untuk keluar dating
Anda tidak perlu lagi menunggu si dia membawa anda ke lokasi yang belum pernah dikunjungi atau mengajak anda untuk makan malam di lokasi romantik. Cara terbaik untuk menjadikannya lebih menyeronokkan adalah melalui anda sendiri! Ajak si dia ke destinasi percutian yang belum pernah terlintas dalam fikiran anda mahupun dirinya. Sebaik pulang dari bercuti, tentunya dia akan berasa terdorong untuk membalas dengan kejutan seperti itu sebagai tanda terima kasih si dia terhadapmu.