Memakai skirt dalam pelbagai gaya menampilkan imej yang lebih funky, preppy dan menyeronokkan. EH! kali ini membawa Jezmine untuk berkongsi tips dalam memakai skirt mengikut pelbagai gaya!
Skirt Maxi
Skirt maxi sesuai dipadankan dengan top yang berona ceria agar gaya kelihatan lebih menarik dan menonjol. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar pertama, blaus berona kuning terang dengan perincian ala Peter Pan mampu membawa gaya yang chic. Sebagai pelengkap gaya, blaus lengan panjang yang diperbuat daripada fabrik chiffon berona nude disarung manakala aksesori tali pinggang vintage menyerlahkan lagi pinggang yang ramping.
Jika anda seorang yang kreatif, skirt maxi sebenarnya boleh diubah dan dipakai seperti gaun tube! Padanan vest beropol dengan perincian yang ringkas menjadikan gaya anda lebih kepada boho chic! Inspirasi ini yang ditunjukkan dalam gambar kedua boleh mengelak daripada gaya yang menjemukan.
Manakala untuk ke pejabat pula, blaus dengan pussy bow seperti dalam gambar ketiga menjadikan gaya anda lebih menarik dan klasik! Rekaannya yang kosong dan dipadankan bersama skirt bercorak flora pasti membuatkan ramai gadis di luar sana kagum dengan keberanian anda untuk tampil berbeza!
Lace Puffy Skirt
Bagi si gadis yang gemarkan gaya sweet dan feminin, puffy skirt yang diperbuat daripada fabrik lace amat sesuai untuk dipakai dalam apa jua majlis walaupun ke pejabat. Namun, tidak cukup dengan memadankan kemeja lengan panjang berona sama, aksesori memainkan peranan penting untuk mencipta gaya yang lebih sempurna. Untuk itu, aksesori rantai seperti mutiara dan netted necklace boleh menerbitkan statement gaya anda seperti dalam gambar pertama!
Jika anda mahu memakainya kala mood kasual, cara terbaik adalah dengan memadankannya bersama tank top yang ringkas (gambar kedua). Mahu tampil lebih bergaya? Skaf bermotif rona terang menambahkan lagi nilai gaya peribadi anda.
Usah risau jika anda buntu untuk mengenakan gaya menarik apabila rakan mengajak anda ke parti harijadi mahupun acara istimewa lain. Padankan skirt dengan blaus tanpa lengan yang berona kontras seperti dalam gambar ketiga! Sudah pasti pemilihan gaya ini membuatkan anda kelihatan lebih bold dan cantik.
Skirt Bermotifkan Kek Cawan
Skirt bermotifkan kek cawan sememangnya menerbitkan gaya yang comel dan fun. Untuk tampil ringkas, padankan skirt pendek bercorak ini dengan top putih agar gaya tidak kelihatan keterlaluan (gambar pertama). Lebih manis, aksesori rantai dengan loket kecil adalah pilihan terbaik.
Memandangkan gaya vintage kembali menguasai trend, skirt ini boleh disuai padankan dengan kemeja berona pastel seperti dalam gambar kedua. Selain kelihatan chic, gaya anda dilihat lebih feminin dan sweet.
Mahukan lagi daripada koleksi pereka fesyen bertubuh kecil molek ini? Layari laman web www.oldblossombox.blogspot.com untuk melihat lebih banyak kreativiti Jezmine!