Berlakon mungkin perkara terakhir yang mahu dilakukan namun jika itu pilihan untuk membuka pintu rezeki yang lebih meluas, tidak salah untuk diri mencubanya. Itulah yang dirasakan pelakon berwajah kacukan Melayu-Inggeris, Zain Saidin, yang kini semakin mendapat perhatian ramai pengarah drama Melayu. Dilahirkan pada 23 February 1984 di Kuala Lumpur, jejaka berbadan tegap ini kelihatan mesra dan terbuka kala ditemubual.
Tidak mahu menumpang populariti kakaknya, Sasha Saidin yang pernah popular sebagai anggota kumpulan Elite, Zain seboleh-bolehnya mahu dikenali kerana bakat dan kebolehannya. Katanya, sebelum ini dia tidak mahu muncul dalam limelight sebaliknya memilih untuk menjadi low profile demi memberikan sokongan penuh terhadap kakaknya yang mencintai dunia seni.
Namun, selepas menyedari dirinya tidak putus-putus ditawarkan untuk berlakon biarpun pernah menolaknya atas sebab komitmen, Zain kini akur dengan perjalanan hidupnya yang tetap mengheretnya ke dunia lakonan.
“Sebelum saya bergiat penuh dalam lakonan, saya bekerja sebagai personal trainer di gim. Saya akui, minat saya terhadap bidang sukan sukar untuk disangkal. Dulu ketika zaman sekolah, saya begitu meminati sukan renang, bola keranjang dan bola sepak. Pernah juga bercita-cita untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan tetapi tidak berjaya disebabkan lutut pernah tercedera akibat bermain skateboard, haha!”.
Remaja hari ini
Menyentuh permasalahan remaja yang semakin hanyut dalam kancah sosial, Zain tidak terkecuali daripada berasa kesal atas apa yang berlaku. Baginya, pembawakan dari rumah penting untuk membentuk peribadi seseorang agar lebih bijak menilai baik dan buruk sesuatu perkara.
“Seingat saya, kali pertama saya memiliki telefon bimbit selepas tamatnya sekolah iaitu ketika saya berumur 18. Bayangkan, biarpun handphone itu berjenama Nokia 3210, gembiranya tidak terkata. Tetapi, apa yang berlaku kini, kanak-kanak sekolah pun sudah memiliki peralatan dan telefon bimbit canggih. Implikasinya? They grew up too fast with all of the technology hingga mudah terjebak dalam masalah sosial."
Tambahnya, remaja hari ini perlu mensyukuri segala kemudahan, kesenangan dan kemewahan di depan mata dan menggunakannya untuk tujuan yang lebih bermanfaat demi masa depan yang lebih terjamin. "Bayangkan, zaman kanak-kanak saya memang lasak. Jika aktiviti seperti bermain bola sepak dengan berkaki ayam, berbasikal untuk mandi di sungai mahupun bermain permainan seperti 'rounders' dan 'konda-kondi' begitu popular di zaman kanak-kanak saya, kini tiada lagi. Saya berharap golongan remaja mampu berfikir baik dan buruk sebelum melakukan sesuatu tindakan yang mampu menjejaskan masa depan."