Oleh Farhana Fuad
Gambar: wirakreative.blogspot.com
Baru- baru ini kita dikejutkan dengan tragedi yang menimpa negara kita di mana hilangnya kapal terbang syarikat penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang pada hari ini masih tidak terungkai misteri kehilangannya. Apatah lagi apabila diketahui bahawa ada dua individu di dalam kapal terbang tersebut menggunakan pasport curi. Jadi, semestinya anda tidak mahu perkara seperti ini berlaku kerana ia menyulitkan keadaan ketika masalah tidak diduga berlaku sekaligus membebankan perjalanan anda. Malah, pasport anda juga akan digantung sekiranya didapati hilang.
EH! berkongsi sedikit cara untuk memastikan keselamatan pasport perjalanan anda.
1. Pastikan anda membuat salinan pasport perjalanan untuk keselamatan sekiranya pasport anda dicuri atau hilang. Sekiranya perlukan pengenalan diri untuk dibawa bersama, bawa salinan pasport sahaja dan simpan pasport asal dalam peti besi bilik hotel.
2. Elak dari meninggalkan pasport anda sebagai deposit hotel, sewa motor, atau pun apa sahaja yang memerlukan dokumen diri anda kerana inilah punca pasport anda tercicir atau disalahgunakan bagi pihak tertentu.
Gambar: travelogue.travelvice.com
3. Kunci beg galas anda. Jika tidak, ia adalah lebih baik digalas dibahagian depan atau gunakan sling bag serta pastikan kandungan beg terletak di bahagian depan.
Gambar: www.archiexpo.com
4. Jangan tinggalkan pasport anda di atas meja atau tempat terbuka di dalam bilik hotel anda. Gunakan kemudahan peti kunci yang disediakan di dalam bilik anda.
5. Jangan hilang tumpuan ke atas pasport anda jika anda memberikan kepada rakan anda atau travel agents ketika mengumpulnya untuk tujuan group check-in.
6. Letakkan pasport dan dokumen pengenalan diri anda di tempat selamat; hanya bawa barang yang perlu jika anda keluar ke bandar.
7. Pastikan anda mengasingkan barang penting ditempat yang berasingan. Dengan cara ini, jika sesuatu milik anda hilang, anda tidak akan hilang kesemuanya yang boleh memburukkan keadaan dan anda masih ada harapan cerah untuk pulang dengan selamat.
8. Jika pasport anda didapati hilang atau dicuri, laporkan segera ke pejabat kedutaan dan balai polis. Jangan ambil ringan dengan kehilangan pasport yang kita anggap hanya seperti buku nota tetapi sebenarnya ia adalah benda paling penting untuk pengenalan diri kita ketika ke luar negara.