Oleh: Reen Aziz
Gambar: INGimage
Bagi wanita yang gemarkan kesederhanaan dalam solekan tetapi cukup berseri dengan aura semulajadi, mungkin anda patut cuba solekan mata klasik ini untuk kelihatan natural dengan rona-rona tanah dan neutral.
EH! kongsikan tip untuk solekan mata klasik yang mampu menaikkan keserian mata agar ianya lebih cantik dan tampak natural tanpa solekan yang berlebih-lebihan.
LANGKAH 1 : Pembayang Mata
- Anda perlukan tiga warna pembayang mata iaitu tona tanah yang cerah, sederhana cerah dan gelap. Sapukan tona cerah bermula dari garisan bulu mata sehingga ke bawah kening.
- Kemudian, sapukan pembayang mata dengan tona sederhana cerah. Tona sederhana cerah adalah definisi kepada warna natural, jadi anda tidak perlu meratakan pembayang tersebut.
- Untuk tampak lebih gelap, sapukan pembayang mata tona gelap di garisan mata yang berkedut untuk menampakkan pembayang mata tersebut sekata dengan warna cerah tadi.
LANGKAH 2 : Penggaris Mata
- Gunakan penggaris mata yang berona gelap untuk menggariskan sepanjang hujung kelopak mata.
- Pastikan garisan yang anda oles menggunakan penggaris mata pada bahagian atas kelopak mata dan bawah garisan bulu mata bertemu pada hujung mata.
- Juga pastikan penggaris mata itu tersebut kering kerana jika tidak ia akan menyebabkan penggaris mata comot di sekitar kelopak mata.
LANGKAH 3 : Maskara
- Gunakan pelentik bulu mata sebelum memakai maskara.
- Oles maskara bermula dari akar bulu mata sehingga ke penghujung bulu mata.
- Sapu beberapa lapis maskara agar bulu mata tampak lebih lentik dan tebal.