Gambar: INGimage
Semakin lama rambut semakin kering, lebih teruk jika gugur dan bercabang, semua ini berlaku ada sebabnya. Selain faktor penuaan, soal penjagaan juga perlu diambil kira. Selama ini kita rasakan sudah cukup sekadar bersyampu dan menggunakan perapi.
Paling malas pun pupur sebulan sekali. Selain itu, punca utama terjadinya masalah-masalah rambut ini adalah daripada aktiviti rutin yang dilakukan pada rambut anda. Jadi ambil masa untuk anda rehatkan atau detoks rambut seketika.
1. Cuci rambut sekurang-kurangnya selang sehari. – Cucian kerap hanya membuat rambut hilang lembapan semulajadi. Biarkan rambut tidak dicuci sekurang-kurangnya sehari bagi menggalakkan penghasilan minyak semulajadi pada rambut yang bertindak melembapkan serta mengilatkan rambut. Jika anda tidak biasa membiarkan rambut tidak dicuci, cuba gayakan rambut dengan gaya sanggul atau ‘up do‘ ia membuat rambut anda lebih mudah menerima lembapan dan anda juga selamat dari mengalami ‘bad hair day’.
2. Rambut asli. – Elak melakukan apa-apa rutin pada rambut anda seperti melurus, mengerinting mahupun meniup kering. Jika rambut tampak tidak terurus, itu bukan satu masalah. Cuba gayakan rambut stail ‘messy‘ ia sememangnya gaya yang hangat musim ini. Cuma gunakan sedikit serum rambut bagi menyerlahkan tekstur dan kilauan rambut agar tampak sihat.
3. Keratin sebagai penguat rambut. – Sekiranya anda dapati pelembap rambut seperti serum yang anda gunakan sekarang tidak begitu membantu, cuba produk yang mengandungi keratin yakni untuk memperbaiki dan menstrukturkan rambut. Leave-in moisturizing spray atau perapi mungkin dapat membantu kerana ia cukup sesuai untuk menguraikan rambut kusut serta melembap sepanjang hari.
4. Belai rambut. – Detoks rambut seharusnya merehatkan kutikel rambut anda. Belai lembut rambut anda, jangan tarik atau menyikat rambut terlalu kuat. Selepas mencuci rambut, jangan keringkannya dengan tuala secara kasar, cukup hanya dengan teknik memedap.
5. Vitamin untuk rambut. – Bagi merangsang vitamin, letakkan tablet vitamin C dalam air dan lumurkan pada rambut. Biarkannya selama lima hingga 10 minit sebelum bersyampu.
6. Pemakanan sihat. – Tingkatkan pengambilan avokado atau gunakan produk rambut yang mengandungi minyak avokado sekiranya anda bimbang rambut rosak. Juga, cuba gunakan produk yang mengandungi Vitamin A, B, D dan E ataupun minyak kelapa. Ia bagus untuk untuk menambah kembali kelembapan rambut. Lebihkan pengambilan protein. Protein adalah sumber utama untuk mengekalkan rambut sihat, jadi perbanyakkan pengambilan daging, ikan dan juga lemak yang sihat untuk miliki rambut sihat menawan.
7. Trim dan pupur rambut. – Sekiranya rambut bercabang di hujung, inilah masanya untuk anda mendapatkan khidmat pakar. Trim rambut atau lakukan rawatan rambut yang ditawarkan oleh salun, kemudian amalkan menyapu cream bath atau gunakan pupur rambut di rumah sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Ini membantu anda memiliki rambut yang lebih sihat dengan memperbaiki serta rambut dan menghalangnya dari bercabang lagi.
8. Pupur kulit kepala. – Kulit kepala yang gatal berpunca daripada penggunaan alat dandanan rambut atau produk yang tidak sesuai dengan kulit kepala. Biasanya ia menyebabkan kulit kering dan menjadikan kulit kepala gatal serta kelemumur. Gunakan pupur kulit kepala dan tutup kepala dengan tuala, biarkan dalam masa 20 minit. Jika anda berasa sedikit gatal-gatal ia adalah normal dan bermaksud pupur itu berkesan. Gatal-gatal itu akan hilang sebaik anda mencucinya nanti. Bahan dalam pupur seperti asid salisilik akan bertindak sebagai agen pengelupasan manakala khasiat asid lemak akan menyuburkan serta melegakan kulit kepala.
9. Urut kepala ketika bersyampu. – Ketika mencuci rambut, urut kulit kepala perlahan-lahan untuk melancarkan perjalanan darah. Ia akan membantu sistem pertumbuhan rambut yang lebih kuat dan lebat serta cepat panjang.
10. Produk bebas bahan kimia. – Pastikan anda menggunakan syampu atau sebarang produk rambut yang bebas kimia seperti paraben dan lain-lain kerana syampu jenis ini akan menyingkirkan kotoran pada rambut tanpa memberi efek terhadap gatal-gatal atau keguguran rambut. Pilih syampu yang mengandungi bahan berkhasiat seperti rosemary atau ginseng kerana bahan ini mampu membersihkan rambut pada masa yang sama menguatkan akar rambut. Selepas cucian, anda akan perolehi rambut yang lebih lembut dan berkilat.