Gambar: INGimage
Tidak dinafikan sesetengah orang telah dikurniakan kulit cantik tidak kiralah dengan penjagaan yang khusus atau tidak. Tetapi untuk sesetengah orang, mungkin agak sukar menjaganya, seperti kulit sensitif, pastinya memerlukan penjagaan yang lebih. Asas untuk penjagaan kulit adalah membersih, menyegar dan melembap, namun terdapat beberapa penjagaan lain yang lebih khusus untuk pelbagai masalah kulit, jadi tidak rugi untuk mengetahuinya bukan?
Pengambilan makanan yang betul, mengamalkan senaman setiap minggu, dan menjalani gaya hidup sihat tanpa tekanan akan menghasilkan kulit yang lebih baik. Tetapi bukan itu sahaja ada lebih banyak cara untuk memulihkan kulit agar kurang berminyak dan bebas jerawat secara tidak langsung memperbaiki kesihatan anda:
Tidur yang cukup
Memandangkan proses pembaikan kulit terjadi ketika waktu anda berehat (waktu tidur), jadi anda sekurang-kurangnya memerlukan tujuh hingga sembilan jam waktu tidur bagi pembaikan kulit yang sempurna. Sekiranya tidak cukup tidur, kesan gelap bawah mata akan mulai ketara dan kulit akan kelihatan lesu. Ia juga akan meningkatkan kemungkinan jerawat dan bintik hitam mulai tumbuh.
Bersenam
Kecergasan badan boleh diperoleh dengan melakukan senaman yang kerap, tetapi bukan itu sahaja, kulit anda juga akan bersinar dan segar selepas bersenam. Tetapi selalunya wanita hanya perasan pada kesan yang sebaliknya iaitu jerawat, kulit berminyak dan bintik hitam yang mulai ketara sesudah bersenam. Sesudah bersenam pula pastikan anda bersihkan badan secukupnya bagi menanggalkan kotoran peluh pada liang pori-pori, lebih berkesan sekiranya menggunakan buih mandian yang mengandungi asid salisilik.
Kurangkan stres
Stres bukanlah punca utama kulit berjerawat bahkan ia sebenarnya memberi kesan yang lebih memudaratkan. Contohnya apabila stres, kita akan melakukan tabiat-tabiat buruk seperti mengidam makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula, kita tidak berehat dengan betul juga tidur tidak lena, emosi terganggu seperti cepat marah. Dengan itu terhasillah hormon dan kortisol ketika anda dalam tekanan ini. Kortisol adalah punca pembiakan jerawat, keradangan dan masalah kulit yang lain. Bagi mengatasi tekanan cubalah teknik atau aktiviti yang boleh mengurangkan stres.
Elakkan merokok
Dalam zaman serba moden ini, bukanlah sesuatu yang dianggap tabu sekiranya perempuan merokok. Tetapi ia bukanlah juga sesuatu yang biasa dan elok untuk dilakukan kerana selain menjejaskan kesihatan, merokok juga menyebabkan kulit anda lekas tampak tua seperti kedutan dan garis-garis halus lebih ketara pada usia yang tidak sepatutnya serta mengakibatkan tompok-tompok merah dan warna kulit berbelak-belak. Menurut kajian Plastic and Reconstructive Surgery, kesan pada kulit seorang perokok adalah seperti menambah 2.5 tahun daripada umur asalnya.
Produk tidak bersesuaian
Penggunaan produk yang tidak sesuai dengan kulit juga adalah salah satu kesilapan yang biasa dilakukan. Jadi kaji jenis kulit anda sebelum memilih produk penjagaan kulit yang sesuai. Untuk kulit yang berminyak gunakan pencuci muka yang mengandungi asid salisilik, ia mampu menyingkirkan minyak yang berlebihan pada kulit. Untuk kulit yang sensitif gunakan pencuci yang bersusu, tanpa pewangi dan alkohol. Manakala kulit kombinasi pula perlu menggunakan pencuci muka sama seperti kulit berminyak tetapi disusuli dengan penggunaan pelembap yang bertekstur ringan. Akhir sekali untuk kulit kering gunakan pencuci muka yang tidak berkrim contoh yang baik adalah gel.