Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Pengambilan minuman berkarbonat adalah salah satu punca proses melangsingkan badan yang anda amalkan lebih sukar untuk dijayakan. Adanya amalan mengambil air kosong juga tidak menjadi untuk membuang segala toksin dan lemak berlebihan dalam badan.
Jadi, apa kata anda cuba pula amalkan pengambilan air detoks yang lebih berkesan untuk melangsingkan tubuh badan. EH! kongsi resipi air detoks yang boleh anda cuba di rumah.
Ceri
Kacau sebati campuran dua cawan buah nanas yang dipotong dadu, satu cawan buah ceri segar, serta tiga hiris halus buah epal. Simpan di dalam peti sejuk dan hidangkannya kala dingin.
Strawberi dan daun selasih
Tumbuk lapan helai daun selasih (basil) untuk menaikkan aromanya, campur ke dalam tiga cawan buah strawberi yang dibelah dua ke dalam air sejuk. Kacau rata dan hidang sejuk.
Epal dan kayu manis
Campurkan buah epal yang dihiris nipis bersama lima batang kayu manis ke dalam air sejuk. Gaul rata dan hidang sejuk atau bersama ketulan ais.
Tembikai susu
Gaul sebati air sejuk bersama empat cawan buah tembikai susu dan dua cawan buah anggur yang dibelah dua.
Koktel Mangga
Tumbuk daun pudina sebanyak enam helai untuk menaikkan aromanya. Campurkan bersama tiga cawan buah mangga yang dipotong dadu serta hirisan buah limau kasturi ke dalam air sejuk. Kacau dan hidang sejuk.