Oleh: Farhana Fuad
Gambar: CST Production
Jihan Muse selamat bergelar isteri kepada Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli semalam pada jam 3.20 petang di majlis pernikahannya di Laman Kayangan, Shah Alam. Dengan sekali lafaz, Jihan dan Ungku diijab kabulkan oleh bapa kandung Jihan, Musa Abdul Aziz dengan saksi Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki.
Ungku memberikan RM300 mas kahwin kepada Jihan berserta lima dulang hantaran dan dibalas lima dulang juga dari pihak Jihan. Majlis resepsi kedua pasangan yang sudah menjalinkan hubungan sejak tahun 2007 lagi ini berlangsung pada hari dan lokasi yang sama.
Ketika majlis pernikahan dan resepsi di sebelah pihak pengantin perempuan, Jihan dan suami tampil sedondon serba putih hasil rekaan pereka fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini. Solekan Jihan untuk majlis akad adalah sentuhan Saidatulnisa sementara solekan majlis resepsi oleh Bosco Ryzal.
Menyerikan lagi acara gilang gemilang meraikan pengantin apabila kedua mempelai tiba ke dewan dengan menaiki kereta kuda dari Din Equestrian Club. Pasangan secocok ini turut mengadakan sesi memotong kek perkahwinan tiga tingkat ciptaan The Baking Bachelor. Juga istimewa, Fara Fauzana menghangatkan majlis selaku pengacara majlis paling bermakna dalam hidup rakanya Jihan ini.
Tahniah buat Jihan dan suami, semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke akhir hayat. EH! kongsikan gambar sekitar majlis pernikahan dan resepsi Jihan Muse bersama Ungku Hariz yang dirakam oleh Project2pi
[soliloquy slug=”jihan-muse-dan-ungku-hariz-kahwin”]