Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Nabil Ahmad
Kali ini, giliran pelawak dan pengacara terkenal, Nabil Ahmad yang bakal berangkat ke tanah suci Mekah tidak lama lagi. Nabil bakal terbang ke sana buat pertama kalinya bersama isterinya, Nazira Ayub.
Ini bukanlah kali pertama Nabil menjejakkan kaki ke tanah suci, malah sebelum ini Nabil pernah dijemput untuk ke sana tetapi bersama rombongan lelaki.
Baginya, pada ketika itu agak kurang sesuai untuk isterinya turut serta dek kerana majoritinya adalah lelaki. Jadi, untuk jemputan kedua ke tanah suci ini, Nabil cukup bersyukur kerana diberi kesempatan sekali lagi serta niatnya untuk membawa isteri ke tanah suci terkabul.
“Memang sudah lama saya berniat membawa ‘orang rumah’ mengerjakan umrah. Namun, ketika pemergian ke tanah suci sebelum ini, saya pergi bersama rombongan lelaki, jadi agak kurang sesuai,” ujar Nabil kepada BH Online.
Apa yang istimewanya lagi bagi Nabil, ibadat umrah kali ini akan ditunaikannya pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Nyata perancangan Allah adalah sebaik-baiknya apabila ‘panggilan’ ini hadir tepat pada bulan puasa. Malah, kami mendapat rezeki bermakna iaitu beribadat pada malam-malam terakhir Ramadan,” kata Nabil lagi.
Tahun lalu, Nabil berpeluang menunaikan Haji buat pertama kali. Kali ini, Nabil turut menyatakan yang dia turut akan menjalani penggambaran program televisyen yang berjudul Perjalanan Haji Nabil sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 5 Julai nanti.
“Saya faham isteri belum berhijab. Saya harap pemergian kami ke Tanah Suci ini membawa perubahan buat saya dan isteri, …doakan kami,” katanya yang teruja menanti hari mereka terbang ke sana dan berharap segalanya berjalan lancar serta peroleh keberkatan.