Gambar : Shutterstock
Kulit yang tidak sekata, cerah berseri dan kusam membuatkan keyakinan diri wanita berkurangan. Ini berpunca daripada pendedahan secara berterusan cahaya matahari.
Usah risau, bagi mereka yang inginkan khasiat semula jadi apakata amalkan beberapa petua murah dan mudah untuk dicuba dirumah bagi mendapatkan kulit cerah dan sihat.
• UBI SENGKUANG MENCERAHKAN
Kupas ubi sengkuang, sagat isinya. Jadikan ia sebagai pupur, sapukan pada seluruh wajah dan leher. Biarkan sehingga pupur kering, khasiat yang terkandung di dalam ubi sengkuang membantu menyejukkan kulit di samping menyegar dan menjadikan kulit cerah sekata.
• PUTIH TELUR MELEMBUTKAN KULIT
Telur mempunyai khasiat yang tinggi kepada kesihatan dan membantu merawat pelbagai jenis kulit. Caranya sangat mudah, sapukan putih telur pada seluruh wajah dan leher. Biarkan ia kering, kemudian bilas dengan air suam. Putih telur membuatkan kulit menjadi lebih lembut dan sekata. Bagi anda yang mengalami masalah noda hitam pada wajah terutama di bahagian hidung, rendam kapas muka di dalam mangkuk yang mengandungi putih telur. Kemudian letakkan kapas ini pada bahagian bermasalah. Biar sehingga kering, selepas itu tarik kapas secara pelahan-lahan. Cara ini dapat membersihkan wajah secara mendalam, anda akan dapat lihat kotoran yang melekat pada kapas.
• TEH HIJAU
Bagi mengekalkan awet muda, ramai wanita di Jepun, Korea dan China mengamalkan teh hijau sebagai minuman harian. Teh hijau tinggi antioksidan. Ia merawat kulit dari dalam dan menjadikan kulit lebih cerah dan berseri.
• AIR KELAPA
Air kelapa antara ramuan yang sangat efektif membantu wanita memiliki kulit wajah yang sihat dan menawan. Basuh wajah dengan air kelapa setiap pagi, biarkan ia kering sendiri pada wajah. Kemudian, baru dibilas dengan air bersih. Air kelapa dikatakan dapat mencerahkan kulit, mengatasi wajah kusam, melicinkan kulit dan mengecutkan jerawat.
• MADU
Terkenal dengan kebolehannya mencerahkan wajah dan juga agen melembap. Kulit kering adalah sebab utama ketidaksamarataan warna kulit. Madu juga punyai agen anti-bakteria yang membantu memudarkan kesan jerawat atau tompok gelap. Sapu madu pada wajah secara nipis. Biarkan ia kering, kemudian bilas wajah dengan air perahan limau nipis atau lemon.