Gambar : shutterstock
Sejak dahulu, pepatah bagai perigi mencari timba sudah selari dalam kehidupan masyarakat. Wanita yang terlalu mengada-ngada dan terhegeh-hegeh menagih cinta atau perhatian daripada lelaki dilabel sebagai wanita jahat atau terdesak.
Namun, mengapa perlu had kan diri apabila si dia sudah pun menjadi milik abadi? Hangatkan malam anda dengan fakta berikut.
Lelaki tidak selalu gagah
Ketahuilah hakikat bahawa hampir kesemua lelaki suka dibelai manja walau sekeras mana pun perlakuan mereka. Mereka juga perlukan perhatian daripada individu yang mereka sayangi. Kehidupan seharian sudah cukup lelah dengan pelbagai tanggungjawab seperti membayar bil, bekerja mencari nafkah, melindungi keluarga daripada sebarang bahaya dan berurusan dengan orang ramai sebagai seorang lelaki yang tabah dan kuat. Kerana itu ketika di kamar tidur, digalakkan untuk wanita menjadi lemah lembut dan belai si dia dengan penuh kasih dan manja.
Goda dia
Jika selalunya si dia yang memulakan langkah apabila mahu melakukan hubungan seks, apa kata kali ini anda pula menggoda si dia untuk melayari malam indah bersama. Kalau suami anda adalah seorang yang berfikiran ortodoks dan tidak biasa dengan godaan, lakukan perkara asas seperti memimpin tangannya perlahan ke kamar tidur dan bangkitkan emosi dengan susunan lilin wangi dan muzik perlahan.
Rasa diperlukan
Lelaki suka apabila diri mereka rasa diperlukan, lebih-lebih lagi daripada wanita kesayangan mereka. Tunjukkan padanya yang anda mahukan hubungan intim bersamanya pada malam itu dengan memberi petunjuk-petunjuk jelas. Katakan padanya yang anda mahukan dia. Buatkan dia rasa yang anda tidak boleh hidup tanpanya. Pasti keinginannya kepada anda tidak terbendung dan kasih bertambah mekar.
Rendahkan egomu
Wanita juga ada ego mereka. ‘Ah, mana mungkin aku mulakan langkah dahulu. Bukankah lelaki yang sentiasa menginginkan wanita?’ Pendapat yang salah ini sering menjadi punca rasa tidak puas hati dalam hubungan seks. Hubungan seks adalah perhubungan dua hala yang memerlukan kerjasama antara keduanya. Tidak salah untuk anda akui padanya yang anda juga mahukan hubungan seks itu.
Anda malu?
Sememangnya perkara ini menjadi alasan utama mengapa wanita tidak suka menggoda pasangan mereka di kamar tidur. Mungkin kerana bentuk badan yang tidak menarik, segan jika keinginan ditolak atau sekadar malu dan tidak biasa untuk bertindak dahulu. Wahai wanita, ada sebab mengapa dia mengahwini anda, iaitu kerana cinta. Pasangan tidak perlu malu kepada satu sama lain kerana dialah individu yang perlu anda hidup bersama sehingga hujung usia. Jadikan dia sebagai rakan karib yang bekerjasama menutup kelemahan dan menghargai kelebihan masing-masing.
Jauhi kebosanan
Bantulah pasangan anda untuk menjadikan hubungan kelamin antara anda semakin menarik dari sehari ke sehari. Jika setiap kali hanya dia yang bagaikan bertepuk sebelah tangan, bukankah bisa membangkit jemu dalam hubungan kalian?